Isnin, 11 Oktober 2010

ETP: PM Digesa Jelaskan Langkah Kerajaan Peroleh RM454 Billion Dalam Ucapan Bajet 2011 Jumaat Ini

Oleh Norasikin Samsi

IMG_5695KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bagaimana kerajaan Umno-BN bercadang mendapatkan sejumlah RM454 billion untuk kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar mereka dapat melaburkan wang tersebut dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, penjelasan itu hendaklah dibuat pada ucapan Bajet 2011 yang akan dibentangkan Najib pada Jumaat ini termasuk menerangkan tentang apa tindakan kerajaan untuk memastikan pelaburan sebanyak RM850 billion daripada sektor swasta dapat diperolehi.

Menurut beliau, sebanyak RM1.44 trillion diperlukan bagi melaksanakan 131 pelan pembangunan ETP seperti dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang dipengerusikan oleh Datuk Idris Jala di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Daripada jumlah itu, katanya kerajaan Umno-BN mengharapkan 60 peratus sumbangan pelaburan daripada sektor swasta sepenuhnya dan 32 peratus daripada GLC, manakala baki 9 peratus akan ditanggung oleh kerajaan Umno-BN.

"Kita perlu mengetahui sama ada GLC dapat menampung RM454 billion atau 32 peratus seperti yang diharapkan oleh kerajaan Umno-BN.

"Jika dilihat kepada jumlah modal pasaran yang dipunyai oleh 20 syarikat GLC teratas yang disenaraikan di Bursa Saham, hanya berjumlah RM266 billion, maka bagaimana kerajaan Umno-BN bercadang mendapatkan bakinya?" soal Tony dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Tambah beliau, hanya ada dua cara sahaja GLC dapat menampung kos ini iaitu pertama, setiap GLC mengambil pinjaman berjumlah ratusan juta ringgit atau kedua untuk memastikan kesemua pemegang kepentingan dalam GLC berkenaan mengeluarkan ratusan juta ringgit dari poket sendiri.

"Saya tidak mempertikaikan kemahuan politik kerajaan Umno-BN tetapi saya tidak faham bagaimana kerajaan Umno-BN boleh meletakkan harapan sebegitu tinggi sedangkan angka sebenar penilaian GLC langsung tidak menggambarkan sebegitu?" tegas beliau.

Menurut Tony, 20 GLC terbesar itu juga menanggung hutang sebanyak RM38.65 Billion yang juga perlu dilunaskan, maka GLC terpaksa menanggung bukan sahaja beban pelaburan tetapi juga beban hutang setiap tahun.IMG_5710

Sementara itu bercakap dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempertikaikan percanggahan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ketika menjawab soalan beliau di Parlimen yang menyatakan kerajaan Umno-BN masih belum membuat keputusan berkenaan cadangan pembinaan loji nuklear.

Katanya, beliau mendapati pembinaan logi nuklear telahpun dimasukkan sebagai salah satu daripada 131 projek ETP yang dicadangkan oleh Pemandu di bawah JPM.

"Ini sama seperti projek pembangunan Kuala Lumpur yang dikatakan masih dalam perancangan tetapi telah pun disertakan di dalam ETP, maka saya ingin bertanya adakah ini hanya satu janji manis Umno-BN memuaskan hati rakyat?

"Dan juga untuk menunjukkan bahawa kerajaan Umno-BN kononnya sedar dan sentiasa akan mengambil langkah yang hanya akan membawa kebaikan kepada rakyat?" soal Santiago lagi.

Beliau bagaimanapun turut mempersoalkan sejauh mana kejayaan pelan pembangunan ETP yang dibentangkan oleh Pemandu dapat dijayakan kerana sehingga kini tiada bukti atau sumber yang dapat menyatakan pelan-pelan ini dapat menggerakkan ekonomi di masa hadapan.

"Apa yang saya lihat hanya pelan 'hypothetical', pelan yang mungkin boleh dan bukannya pelan yang terbukti akan berjaya menggerakkan ekonomi," jelas beliau.

Tiada ulasan: