Rabu, 20 Oktober 2010

Ekonomi Melayu: Jangan emosi, tuduh khianat bila syor naratif baru, kata Khairy



KUALA LUMPUR — Orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno tidak seharusnya memperlihatkan sikap emosi apabila berhadapan dengan soal-soal yang berkaitan dengan naratif baru agenda ekonomi bangsa, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam mengetengahkan antara soal manhaj dan maqasid, Ketua Pemuda Umno ini berkata, yang sepatutnya menjadi persoalan ahli-ahli Umno khususnya Pemuda Umno sekarang bukanlah matlamat perjuangan yang sudah pun jelas.

Sambil tidak menafikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ada membawa kejayaan, Khairy menegaskan, waima dasar yang begitu penting kepada orang Melayu seperti DEB — sudah tentu ada kelemahannya.

“Dan, apa juga dasar perlu dikaji semula setelah dilaksana sekian lama agar dapat dikemas kini sejajar dengan perubahan masa,” katanya.

Oleh itu kata beliau, apabila ada pihak yang mengesyorkan supaya pendekatannya dikaji semula mereka tidak harus dilabel sebagai pengkhianat bangsa.

Khairy tidak menamakan sesiapa dalam ucapannya, tetapi beberapa pertubuhan bukan kerajaan membela orang Melayu khususnya Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebelum ini pernah mendakwa bahawa kerajaan seolah-olah mengetepikan kepentingan agenda Melayu dan Bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE).

“Tanpa dipengaruhi emosi, kita harus berani memisahkan apa itu matlamat dan apa itu cara atau pendekatan.

“Kita harus memahami perbezaan antara maqasid atau objektif perjuangan dan manhaj atau cara dan pendekatan yang diamalkan,” kata beliau sambil menambah, perubahan yang dituntut kini bukan pada maqasid.

“Matlamat untuk memartabatkan orang Melayu tak pernah dilupa, jauh sekali dibuang.

“Apa yang perlu diubah adalah manhaj perjuangan atau cara yang diguna pakai selama ini,” kata Khairy yang menekankan bahawa “dulu kini dan selamanya”, Umnolah yang menjadi benteng, perisai dan meneruskan perjuangan demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Kata Khairy, ada yang mungkin bertanya, apakah manhaj yang sekian lama dilaksana itu perlu diubah?

Malah katanya, ada yang bertanya bukankah pendekatan tersebut membawa segala kejayaan yang kita nikmati hari ini.

“Secara spesifik, bukankah pendekatan DEB punca utama kemajuan orang Melayu dan kestabilan politik Malaysia pada hari ini?

“Kenapa perlu ada perubahan, meskipun dihadkan kepada manhaj dan bukan pada maqasid sekiranya pendekatan itu sudah terbukti menghasilkan kejayaan untuk Bumiputera selama ini?

“Mengapa perlu diperbaiki sesuatu yang tidak rosak?” kata beliau yang menggariskan senarai persoalan itu dalam ucapannya pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno di sini hari ini.

Jelas Khairy, secara peribadi beliau melihat pencapaian DEB sebagai sesuatu yang amat membanggakan.

“Selain kemajuan ekonomi, keamanan negara dapat dipelihara sekian lama hasil keberkesanan DEB dalam membasmi kemiskinan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, di samping penyusunan semula masyarakat agar tidak lagi wujud pemisahan kaum yang ketara berdasarkan peranan ekonomi masing-masing.

“DEB telah mengurangkan kadar kemiskinan tegar rakyat daripada 50 peratus pada tahun 1970-an kepada empat peratus ketika ini manakala kadar kemiskinan tegar Bumiputera dari 65 ke lima peratus.

“Usaha penyusunan semula masyakat melalui DEB telah melahirkan masyarakat perniagaan dan perindustrian serta para profesional Bumiputera,” katanya.

Kata beliau, kejayaan itu tidak dapat dinafikan, tetapi dalam apa juga dasar – waima dasar yang begitu penting kepada orang Melayu seperti DEB — sudah tentu ada kelemahannya.

“Dan, apa juga dasar perlu dikaji semula setelah dilaksana sekian lama agar dapat dikemas kini sejajar dengan perubahan masa,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, ahli-ahlu Umno perlu jujur dan jangan dipengaruhi emosi.

“Janganlah pula hanya semata-mata kerana kita menilai semula pendekatan atau manhaj agenda perjuangan bangsa, tuduhan pengkhianat dilempar.

“Jangan pula hanya kerana kita mahu meningkatkan lagi keberkesanan dasar atau mengenal pasti kelemahan pelaksanaan DEB, orang Melayu dihasut kononnya kerajaan BN tidak lagi peka dan prihatin terhadap nasib bangsa.

“Janganlah anak-anak muda Melayu ditakut-takutkan seolah-olah Melayu akan hilang dari muka bumi semata-mata kerana manhaj atau pendekatan perjuangan direkayasa untuk mencapai hasil yang lebih baik,” katanya.

Khairy menjelaskan bahawa sekiranya ahli-ahli Umno ikhlas dan mahu melihat pencapaian maqasid – matlamat – perjuangan bangsa, yakni Bumiputera yang maju dan berjaya atas kekuatan dan usaha sendiri, mereka harus berani mengaku apa yang baik dan apa yang kurang baik dalam pendekatan semasa.

Katanya, apabila MBE diumumkan, ramai yang menzahirkan kebimbangan mereka bahawa agenda bangsa seolah-olah hilang dan lenyap, seumpama satu manifestasi lapuk yang tiada tempat dalam dunia tanpa sempadan.

“Terdapat segelintir orang Melayu yang merasa tercabar hingga beranggapan seolah-olah kita diserang dari pelbagai sudut sehinggakan usaha murni untuk mengkaji semula pelaksanaan dasar ini dipandang serong dan dianggap sebagai satu lagi cubaan untuk menghakis hak dan kedudukan istimewa Bumiputera,” katanya.

Sehubungan itu Khairy bertanya para perwakilan Pemuda Umno adakah kaum Bumiputera dapat terus melangkah maju sekiranya bersikap defensif dan hanya gah melaungkan kata-kata kononnya mempertahankan itu dan ini.

“Akan menjadi istimewakah orang Melayu hanya dengan kita memekik bertempik tentang kedudukan istimewa Melayu itu sendiri?

“Apakah dengan hanya kita memberi amaran kepada kumpulan-kumpulan pendesak tertentu supaya jangan bermain dengan api, Bumiputera akan berjaya?

“Atau adakah realitinya kita ini hanyut dibuai emosi sehingga kita lupa akan soal pokok – guruh berdentum, hujan tak ada; cakap besar, hasil tiada,” katanya.

Khairy memberitahu bahawa apa yang perlu dilakukan adalah mengakui kelemahan yang ada dan membina satu gagasan baru yang boleh melonjak kedudukan Bumiputera kepada satu tahap yang membanggakan.

“DEB sememangnya telah membawa pelbagai kejayaan tetapi ia tetap ada kelemahannya.

“Ekuiti Bumiputera telah meningkat jika dibandingkan dengan era pra-DEB tetapi pada era pertumbuhan ekonomi yang paling pesat sekitar tahun 1990-an di mana peluang untuk mengagihkan kekayaan baru tersebut cukup luas, ekuiti Bumiputera telah susut daripada 20.6 peratus pada tahun 1995 kepada 19.1 peratus pada tahun 1999,” katanya.

“Kita juga menyaksikan peningkatan jurang ketidaksamaan dalam nisbah pendapatan Bumiputera dan etnik Cina dari nisbah RM1.74 pendapatan etnik Cina bagi setiap RM1 yang orang Melayu ada pada tahun 1990 ke RM1.81 pada 1995,” katanya.

Pada waktu itu, kata beliau, disaksikan ramai jutawan Melayu yang diangkat dan diberi peluang melalui program penswastaan dan pemberian saham melalui ‘pink form’.

“Malangnya, saham yang diagih kepada Bumiputera untuk melonjakkan ekuiti bangsa dijual kerana ada yang mahu cepat kaya, mahu banglo mewah, mahu Mercedes mata bulat, mahu isteri muda sesuai dengan status yang baru.

“Mereka ini umpama lupa daratan dengan kekayaan yang jatuh ke riba,” katanya sambil menambah, pemberian yang sepatutnya menjadi amanah dan tangga membantu anak bangsa yang masih tidak menikmati apa-apa menjadi habuan dan milik sendiri.

“Sikap tamak haloba membuatkan mereka lupa kepada semangat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

“Semangat DEB untuk melahirkan lebih ramai tokoh korporat Melayu menyusuri kejayaan mereka yang dipilih tidak tercapai, disebabkan kerakusan yang mengaburi mata dan mendahului tanggungjawab kepada bangsa,” kata beliau.

Katanya: “Inilah dianya antara ketirisan dan kepincangan yang melemahkan pelaksanaan DEB yang merupakan manhaj lama.”

Menurut beliau, sepatutnya dengan segala kuasa dan dasar yang menyebelahi orang Melayu dan Bumiputera, orang Melayu tidak perlu lagi untuk bercakap tentang soal kuota pada hari ini.

“Kerana setelah sekian lama, bangsa kita sepatutnya sudah mampu berdiri gagah di atas dua kaki sendiri dan melepasi sasaran ekuiti 30 peratus, mencapai tahap pendapatan yang setanding dengan kaum lain serta berjaya menerokai sektor ekonomi yang menjana nilai yang tinggi.

“Malangnya kita perlu mengakui bahawa semua ini masih tidak tercapai,” katanya.

Sambil menegaskan DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar, Khairy berkata, realiti itu menuntut kerajaan membuat perubahan.

“Kita harus jelas bahawa Model Baru Ekonomi tidak mengetepikan agenda bangsa.

“Apa yang dilakukan adalah pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi,” katanya yang turut menyoal “mengapa kita perlu takut dengan agenda ekonomi yang berteraskan merit?”

“Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang ‘genuine’, diberi peluang untuk ke depan?

“Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka? Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri?” katanya.

Oleh itu kata beliau, “manhaj” baru mestilah berpandukan merit dan keperluan.

“Merit menekankan elemen daya tahan dan daya saing.

“Merit bemaksud anak Melayu yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi tinggi akan dicungkil, digilap dan diberi ruang untuk berjaya.

“Merit juga menuntut gelanggang sama rata dan sama luas agar petani yang paling inovatif, penjaja yang paling tekun, profesor yang paling ilmuan dan kontraktor yang paling kompeten diberi segala galakan tanpa disekat oleh kepentingan politik dan kekurangan kabel besar,” katanya.

Tiada ulasan: