Ahad, 24 Oktober 2010

Dilema Satu Kampung, Dua Ketua

SELANGOR KINI

Tan Sri Khalid Ibrahim

SHAH ALAM – Jika isu dua imam heboh diperkatakan satu masa dahulu, Selangor kini berdepan dengan dilema dua ketua kampung.

Ini berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan melantik ketua kampung secara berasingan walaupun hak berbuat demikian di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Akibatnya, kampung-kampung di Selangor mempunyai dua ketua kampung, satu dilantik secara sah oleh kerajaan Selangor mengikut undang-undang tubuh negeri dan satu lagi dilantik oleh Kerajaan Persekutuan untuk meraih sokongan politik penduduk.

Tindakan kerajaan Umno-BN itu memberi kesan kepada perpaduan penduduk di samping menimbulkan pelbagai masalah kepada usaha menjadikan pentadbiran kampung lebih dinamis, profesional dan telus, khususnya dalam penyaluran bantuan kepada penduduk, tanpa mengira fahaman politik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, saluran maklumat yang betul, dan aktiviti kerajaan negeri disekat Kerajaan Pusat melalui perlantikan ketua-ketua kampung tajaan mereka itu.

“Satu kampung ada dua ketua, ini perkara yang perlu diselesaikan walaupun berlaku dalam kerajaan yang dikuasai Pakatan Rakyat (Pakatan) sahaja,” katanya.

Dengan nada dukacita, Tan Sri Khalid membidas tindakan Kerajaan Pusat yang dikhuatiri memecahbelahkan masyarakat, dan akan mengkucar-kacirkan pentadbiran kampung.

“Ini merugikan rakyat kerana secara tidak langsung menghalang pentadbiran perlembagaan yang betul, sebab itu walaupun saya menyokong usaha menambah elaun, saya tidak menyokong usaha mengadakan satu kampung, dua ketua,” tegas Khalid.

Tan Sri Khalid berkata, pelanggaran bidang kuasa oleh Kerajaan Pusat ini akan dirujuk ke Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: