Sabtu, 23 Oktober 2010

Calon PAS Galas nafi tuduhan khalwat

FREE MALAYSIA TODAY

drzulkeflimohamad_thumb PETALING JAYA: Calon PAS Galas Dr Zulkefli Mohamad hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Umno mengenai penglibatan beliau dalam kes khalwat.

Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang itu menganggap dakwaan yang disebarkan dalam blog adalah fitnah.

"Terima kasih kerana bertanya. Ianya fitnah semata-mata. Sila buat semakan di mana-mana pejabat agama atau mana-mana Mahkamah Syariah," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (sms) kepada FMT.

Dakwaan fitnah beliau ditangkap khalwat dengan isterinya itu tersebar luas di beberapa blog milik ejen Umno termasuk theunspinners dan Umno Online.

Beliau juga menganggap fitnah yang dilemparkan kepada diri serta keluarganya itu adalah taktik kotor Umno untuk menggoyahkan kedudukan PAS bagi menghadapi pilihan raya kecil Galas 4 November depan.

Menggalas tanggungjawab

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat semalam mengumumkan Dr Zulkefli merupakan calon pilihan PAS bagi menggalas tanggungjawab menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas menentang Umno-Barisan Nasional (BN) semasa PRK Galas nanti.

Beliau pernah bertanding merebut kerusi Parlimen Gua Musang semasa pilihan raya umum 2008 namun tewas ditangan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun Gua Musang merupakan kubu kuat Umno, Ku Li hanya memperoleh jumlah undi 3,826 daripada DUN Galas berbanding Dr Zulkefli yang mendapat majoriti 4,143 undi dan dapat kekalkan pengundi Cina.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Che Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN Mohd Saufi Deraman dengan 3,753 undi.

Tiada ulasan: