Khamis, 21 Oktober 2010

Calon PAS: Dr Zulkefli, Pandak atau Abdullah?

Abdul Rahim Sabri

Timbalan yang dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad, ketua perhubungan Orang Asli DUN Galas, Pandak Panjang Ey atau Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein?

Seorang daripada mereka disebut-sebut akan dipilih sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat dijangka mengumumkan calon PAS itu pada jam 9 malam ini di Dataran Ilmu yang terletak bersebelahan dengan Masjid Faiz di Gua Musang.

Menurut sumber parti ketiga-tiga nama berkenaan telah disenarai-pendekan daripada lima nama yang dikemukakan oleh PAS Kelantan sebelum ini.

"Kita serah 100 peratus kepada Tok Guru Nik Aziz (mursyidul am PAS) untuk buat keputusan," kata sumber berkenaan.

Dr Zulkefli adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008, manakala Pandak Panjang Ey adalah seorang jurutera.

Malaysiakini difahamkan dua lagi nama yang sebelum ini turut disenaraikan ialah naib yang dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong dan setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijadual hadir dalam majlis pengisytiharan calon malam ini.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang dijadual hadir bersama terpaksa membatalkan niatnya itu kerana tidak sihat. Setakat ini, belum dipastikan pemimpin yang akan mewakili parti itu.

Tiada ulasan: