Jumaat, 8 Oktober 2010

Calon Galas: Umno timbang setiausaha, naib ketua Pemuda Gua Musang

THE MALAYSIAN INSIDER

GUA MUSANG— Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas pada 4 November ini.

Satu lagi nama yang timbul ialah Naib Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Zamzani Harun, 39.

Menurut sumber Umno dipetik Bernama, walaupun Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada awalnya dijangka menjadi pilihan BN tetapi beliau, selaku pengarah pilihan raya kecil itu bagi BN, dipercayai lebih cenderung untuk memilih calon lain.

PAS pula lebih bersikap berdiam diri berhubung calonnnya walaupun Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Datuk Husam Musa, semalam dilaporkan berkata parti itu sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli jika ada yang sesuai.

Terdapat 1,889 pengundi Orang Asli daripada sejumlah 11,553 pemilih berdafatar di Galas.

Dalam pada itu, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata BN tidak gentar dan bersiap sedia untuk menghadapi sesiapa pun calon yang akan diletakkan oleh parti lawan di Galas.

“Yang pasti ialah kita akan meletakkan calon terbaik yang boleh membawa kemenangan kepada BN di Galas,” kata beliau.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Husam semalam tentang ura-ura parti itu hendak meletakkan Orang Asli sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil itu.

Beliau berada di Singapura kerana menghadiri dan menyampaikan ucapan utama di persidangan dua hari “Global Entrepolis@Singapore 2010.

Mustapa juga berkata, beliau akan berjumpa dengan Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno dan BN pada pilihan raya kecil itu, dalam tempoh terdekat ini untuk berbincang bagi merangka

program-program yang akan dilaksanakan semasa kempen pilihan raya kecil itu.

Mengenai siapa calon BN yang akan diletakkan pada pilihan raya kecil Galas itu, Mustapa berkata, adalah terlalu awal untuk menjangkakan calonnya.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Pilihan raya Umno dan BN pada pilihan raya itu menggesa supaya semua pihak jangan terlalu ghairah untuk membuat spekulasi.

Kerusi kawasan Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, dari parti PAS, pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di Kuala Lumpur semalam juga telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Oktober ini dan pengundian pada 4 November.

Tiada ulasan: