Khamis, 28 Oktober 2010

Busana Islam: Pemuda PAS Wilayah gesa Jakim bertindak

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyerahkan memorandum menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya berhubung Festival Fesyen Islam (IFF) di Monte Carlo Ogos lalu, yang disertai pemimpin-pemimpin negara, atas alasan ia menghina Islam.

Rombongan Dewan Pemuda PAS Wilayah yang diketuai pemangku ketuanya Herman Samsudeen menyerahkan memorandum sekitar 11 pagi tadi.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merupakan penaung IFF.

Dalam memorandum diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Jakim Asiah Al-Kharib Shah, Herman berkata, penganjuran dan penyertaan dalam IFF walaupun namanya Islam, tetapi jelas menghina Islam apabila menampilkan model yang berpakaian menjolok mata.

Lebih menyedihkan apabila model-model terbabit memakai baju tertera kalimah ‘Muhammad’ dalam bahasa Arab dalam keadaan terbalik, kata beliau.

“Soalnya, apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penganjur dalam festival ini melainkan berniat mahu menghina Islam?

“Mengapakah Datin Seri Rosmah terlibat secara langusng merasmikan dan menaungi festival ini.

“Ia pasti akan memburukkan imej Malaysia di mata dunia Islam yang lain memandangkan ia melibatkan nama perdana menteri Malaysia sendiri,” kata beliau lagi.

Herman berharap IFF yang bakal diadakan di Malaysia awal bulan depan betul-betul bertepatan dengan ciri-ciri Islam.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah mahu Jakim mengambil peranan secara bersungguh-sungguh serta melibatkan secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan dalam negara.

Kata Herman, pihaknya juga berharap Jakim dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana program yang berlaku dalam negara.

Dua program mungkar iaitu Konsert Adam Lambert dan IFF di Monte Carlo menunjukkan program-program itu tidak dipantau oleh pihak sepatutnya.

Dalam memorandum itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah juga meminta agar Jakim dinaikkan taraf sebagai kementerian supaya boleh membuat penguatkuasaan bagi mengawal program-program itu.

Menurut Herman, Jakim dilihat tidak mempunyai kuasa bagi menghentikan sebarang program yang menyalahi etika Islam dan budaya timur dalam masyarakat.

“Kita jumpa PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) dia bagi tahu Jakim antara yang terlibat dalam jawatankuasa meluluskan konsert Adam Lambert baru-baru ini, antaranya ialah Jakim,” kata Herman.

Malangnya, kata beliau program-program mungkar tetap berjalan tanpa ada pemantauan dari pihak yang berwajib seperti Jakim.

Turut menyertai rombongan tersebut Pemuda PAS Wilayah ialah Naib Ketuanya Suhaimi Abd Aziz, Setiausaha Kamarul Arif Ambak, wakil ulama pelapis Adha Buyong dan Exconya Asrul Afendi.

Tiada ulasan: