Sabtu, 9 Oktober 2010

Briged Dewan Muslimat PAS dirasmi petang ini

MALAYSIA KINI


Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengorak langkah baru apabila mereka menubuhkan Briged Dewan Muslimat PAS Pusat secara rasmi petang ini.

Briged itu ditubuhkan dengan tujuan untuk menggerakkan tenaga muda wanita dalam gerak kerja parti termasuk pada pilihan raya sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa wanita muda "tidak ada" dalam PAS.

"Penubuhan briged ini sebagai platform kepada wanita muda PAS bagi menarik sokongan dan penglibatan wanita dalam kerja-kerja parti. (Kerja) pilihan raya adalah sebahagian daripada tuntutan itu," kata setiausaha DMPP Kartini Ahmad.

Menurutnya, tugas rasmi pertama briged itu adalah untuk membantu jentera pilihan raya PAS pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Setakat ini, kata Kartini briged berkenaan mempunyai kira-kira 1,000 ahli dan telah memulakan tugas mereka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kartini berkata majlis pelancaran hari sebagai merasmikan penubuhan briged berkenaan dan masanya juga bertepatan dengan kempen pilihan raya Galas yang bermula 26 Oktober ini.

Kartini juga tidak menafikan peranan briged dewan muslimat itu "mungkin dikatakan sama" dengan Puteri Umno iaitu untuk menarik golongan muda supaya mempunyai kesedaran bahawa mengundi itu satu tanggungjawab yang besar.

"Kita juga mahu meningkatkan kesedaran kepada pengundi muda yang belum mendaftar sebagai pemilih," katanya sambil menambah briged DMPP akan berada di bawah seliaan dewan terbabit.

Majlis pelancaran itu dijadual pada jam 5 petang ini di dewan perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam yang akan disempurnakan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara pemimpin muslimat yang dijangka hadir adalah ketuanya, Nuridah Salleh dan pengarah pilihan raya DMPP Dr Mariah Mahmud.

Menurut Kartini lagi, majlis pelancaran diadakan secara terbuka dan sidang media akan diadakan selepas majlis tersebut.

Tiada ulasan: