Khamis, 7 Oktober 2010

BN tidak gentar siapa pun calon lawan di Galas: Mustapa

BERNAMA

SINGAPURA: Barisan Nasional (BN) tidak gentar dan bersiap sedia untuk menghadapi sesiapa pun calon yang akan diletakkan oleh parti lawan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas di Kelantan pada 4 November depan.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata:"Yang pasti ialah kita akan meletakkan calon yang terbaik yang boleh membawa kemenangan kepada BN di Galas.”

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian, di sini apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan II, Datuk Husam Musa di Kota Bharu semalam, berhubung ura-ura parti itu hendak meletakkan Orang Asli sebagai calonnya bagi pilihanraya kecil itu.

Mustapa menghadiri dan menyampaikan ucapan utama pada persidangan dua hari “Global Entrepolis@Singapore 2010 yang dihadiri kira-kira 600 pemimpin perniagaan tempatan dan antarabangsa di Pusat Persidangan Bandaraya Raffles yang bermula hari ini.

Mustapa juga berkata, beliau akan berjumpa dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN pada pilihan raya kecil itu, dalam tempoh terdekat bagi membincangkan dan merangka program yang akan dilaksanakan ketika kempen pilihanraya kecil itu.

Mengulas calon BN yang akan diletakkan pada pilihan raya kecil Galas itu, Mustapa berkata, adalah terlalu awal untuk menjangkakan calonnya.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Pilihan raya UMNO dan BN pada pilihan raya itu menggesa supaya semua pihak jangan terlalu ghairah untuk membuat spekulasi.
Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti PAS, pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di Kuala Lumpur semalam juga telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Oktober ini dan pengundian pada 4 November depan.

Tiada ulasan: