Rabu, 6 Oktober 2010

BN mampu menang besar


SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas jika mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, Tengku Razaleigh disifatkan sebagai 'otai' politik yang mempunyai banyak pengaruh dan sumbangan kepada penduduk di Gua Musang.

“Ku Li adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab dengan segala keperluan masyarakat dan kerana itulah beliau amat popular serta menjadi daya penarik pengundi kawasan Galas.

“Tindakan BN meletakkan Ku Li adalah keputusan tepat bagi merampas kembali kerusi yang sebelum ini milik Pas,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Menurutnya, kejayaan pemimpin veteran itu untuk memenangi kerusi itu juga bergantung kepada sokongan kuat tiga individu berpengaruh BN di Kelantan iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau, yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Tengku Razaleigh tidak layak bertanding di DUN.

“Soal beliau kerabat diraja, bekas menteri kewangan dan bekas menteri Kabinet tidak menjadi halangan malah menjadi kekuatan kepada BN kerana Ku Li adalah seorang negarawan yang mempunyai kedudukan tinggi.

“Dalam dunia politik, kedudukan seseorang tidak menjadi taruhan yang penting adalah bagaimana individu itu menarik pengundinya,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, meletakkan Tengku Razaleigh sebagai calon DUN di DUN Galas akan memberi keuntungan besar kepada BN berikutan banyak aspek yang boleh mendorong kepada kejayaan itu.

“Ku Li adalah Ahli Parlimen Gua Musang dan pasti ramai pengundi yang akan menyokongnya. Selain itu, beliau kerabat diraja dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik.

“Namun, adakah Ku Li akan bertanding? Pada saya, bertanding di kawasan yang kecil seperti Galas adalah seperti merendahkan kedudukannya sedangkan beliau orang penting negara dan pernah bertanding untuk jawatan Presiden UMNO pada 1987,” katanya.

Menurutnya, jika Tengku Razaleigh menang pada pilihan raya kecil itu kelak, beliau boleh dipertimbangkan untuk menjadi ketua pembangkang di DUN Kelantan.

Tiada ulasan: