Isnin, 18 Oktober 2010

Bicara Kes Mirza dan Bekas Pegawai Pempena Pada 16 Mei

BERNAMA

0816pecah KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 16 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan kes Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA) Mohammad Rosly Md Selamat terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat itu berjumlah RM888,000 pada 2007.

Hakim Azizah Mahamud menetapkan 23 hingga 26 Mei untuk menyambung perbicaraan kes itu.

Azizah menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer memberitahu mahkamah kesemua dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pihak pembelaan yang diketuai Saseedharan Menon.

Pada 16 Ogos lepas, Mirza, 53, dan Mohammad Rosly, 56, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meluluskan pembayaran wang tersebut ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 27 Feb 2007.


Tiada ulasan: