Jumaat, 1 Oktober 2010

Bahasa Muhyiddin: BN sedia timbang Ku Li calon Galas

BERNAMA


Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbang sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Perdana Menteri berkata BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

“Sebagai mana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil Barisan Nasional bagi kerusi) untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sosial Negara di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian supaya Tengku Razaleigh mampu merampas semula kerusi DUN berkenaan daripada PAS jadi menjadi calon.

Mengenai dakwaan PAS kononnya pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Galas memberi kelebihan kepada PAS kerana beliau turut menyokong tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata PAS sebenarnya sedang “gundah-gulana”.

“Dia (PAS) kata beri kelebihan pada dia sebab isu royalti sebenarnya mereka gundah-gulana dengan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh sebagai pemimpin parti yang cukup berpengalaman, sudah sebati dan sinonim dengan Gua Musang.

“Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Melayu, Cina dan India kerana sudah biasa mengenalinya secara peribadi, soal isu royalti kita boleh jelaskan lebih-lebih lagi Tengku Razaleigh pastiya bukan sahaja faham tapi pakar dalam soal itu,” katanya.

Muhyiddin berkata sebenarnya PAS sangat tertekan selepas mengetahui Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat yang dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Galas, Chek Hashim Sulaiman, 46, daripada PAS akibat barah usus.

Tiada ulasan: