Isnin, 11 Oktober 2010

Belum Ada Keputusan... Belum Bincang Siapa Calon - Ku Li

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pucuk pimpinan belum membincangkan siapa bakal calon BN pada pilihan raya kecil itu yang akan berlangsung pada 4 November ini.

"Belum ada sebarang keputusan dibuat, tiada perbincangan mengenainya dibuat," kata Tengku Razaleigh ketika diminta mengulas mengenai ura-ura yang mengatakan beliau menawarkan diri bertanding bagi kerusi DUN Galas itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yang juga Ketua Umno Bahagian sebaliknya berkata, calon yang bakal mewakili BN pada pilihan raya itu nanti akan diumumkan selepas Perhimpunan Agung Umno yang akan berakhir 23 Oktober nanti.

"Pengumuman itu akan dibuat oleh Perdana Menteri pada masa yang sesuai selepas Perhimpunan Agung Umno nanti," katanya lagi ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Isnin.

Hadir sama dalam pertemuan berkenaan ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Tengku Razaleigh menegaskan, BN meletakkan sasaran untuk merampas kerusi DUN Galas pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan yang akan diadakan pada November depan dengan majoriti besar.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, BN perlu turun membuat tinjauan ke kawasan berkenaan bagi mengetahui tahap sokongan pengundi terhadap parti itu.

"Kami harap dapat majoriti besar, kami perlu turun ke bawah untuk tinjau.

"Dalam setiap pertandingan, ada yang kalah ada yang menang... kami harap kami akan menang," katanya.

Sebelum itu pada pertemuan berasingan awal pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan Tengku Razaleigh bagi membincangkan mengenai strategi BN untuk memenangi kerusi DUN Galas.

Najib turut menyampaikan surat pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN kepada Tengku Razaleigh pada pertemuan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Galas manakala penamaan calon pula pada 26 Oktober.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon parti itu, Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Tiada ulasan: