Rabu, 27 Oktober 2010

Bekas Setiausaha Persatuan Rifel dipenjara, didenda RM2.2juta

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Persatuan Rifel Kebangsaan Malaysia, Ismail Zainuddin dipenjara tiga bulan dan didenda RM2.2 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan mengemukakan dua dokumen palsu berbentuk invois berjumlah RM441,000 kepada Majlis Sukan Negara (MSN), lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas peguam bela Md Ridzuan Othman yang mewakili Ismail gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Beliau memerintahkan Ismail, 46, menjalani hukuman itu bermula hari ini dan sekiranya gagal menjelaskan denda itu boleh dipenjara enam bulan.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan dan disabitkan dengan kesalahan itu," katanya.

Bagaimanapun, Rosbiahanin menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu tetapi mahkamah membenarkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu peguamnya, Md Ridzuan memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman yang minima atas alasan faktor kesihatan dan tertuduh perlu mengambil ubat-ubatan yang banyak.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Roziza Sidek dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membantah alasan itu dan berkata ia tidak cukup kukuh untuk mendapat hukuman ringan dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan tertuduh.

Pada 11 Ogos 2008, Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan mengemukakan dua dokumen palsu berbentuk invois berjumlah RM441,000 kepada Majlis Sukan Negara.

Ismail didakwa memberikan dua invois Vision Arms Sports Centre Sdn Bhd yang ternyata palsu kepada Pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa, MSN, Ahmad Shapawi Ismail antara 7 Sept dan 15 Sept 2005, di pejabat MSN di Bukit Jalil di sini.

Dokumen itu mengandungi butiran mengenai pembelian dan pembekalan peluru oleh syarikat itu untuk Persatuan Rifel Kebangsaan Malaysia di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan boleh dihukum mengikut Seskyen 16 akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Tiada ulasan: