Jumaat, 15 Oktober 2010

Bantah keputusan MATC Kuala Selangor


IMG01205-20101013-1647 Oleh B Nantha Kumar

PETALING JAYA: Calon yang tewas, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membatalkan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Kuala Selangor kerana masalah pengawas dan jumlah kertas undi melebihi pengundi.

Dalam mesyuarat itu, yang berlangsung pada 3 Oktober lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya mempertahankan jawatan ketua cabang di kawasan itu.

"Keputusan mesyuarat itu perlu dibatalkan kerana terhadap beberapa unsur fitnah," kata Muhammad Kamil yang telah menyerahkan surat bantahan di Ibu Pejabat PKR di sini Rabu lalu.

Ketika dihubungi FMT hari ini, beliau berkata, antara faktor yang pertama beliau meminta keputusan cabang Kuala Selangor dibatalkan kerana masalah pengawas pemilihan.

Muhammad Kamil berkata bahawa pengawas pemilihan dicabang Kuala Selangor iaitu Sangeetha Jeyakumar ialah anak kepada Adun Seri Andalas Dr Xavier Jeyakumar, bekerja di pejabat kerajaan negeri, dibawah pentadbiran Khalid.

"Sementara Kalidass dan Nageswaran mempunyai rekod jenayah kerana terlibat dengan satu pergaduhan pada mesyuarat pemilihan cabang Kota Raja," katanya.

Pengundi hantu?

Kedua, jumlah kertas undi melebihi pengundi. Pada hari pemilihan sebelum proses pengiraan JPP berkata jumlah pengundi adalah 1,461 tetapi di akhir pengiraan jumlah kertas undi yang dikira adalah 1,520. Ini bermakna terdapat unsur ‘undi hantu’ di pemilihan
cabang Kuala Selangor.

Ujar beliau, "walaupun terdapat bantahan semasa pengiraan undi, JPP masih bertegas mengumumkan keputusan berpihak kepada Menteri Besar.

"Sedangkan JPP menangguh keputusan pemilihan cabang Hulu Selangor untuk perkara yang sama tetapi tidak pula di Kuala Selangor," tambahnya.

Katanya lagi, ini jelas menunjukkan Pusat parti dan JPP mengamalkan ‘double standard’ terhadap ahli biasa apabila bertanding menentang ahli berprofil tinggi", katanya.

Deepavali lebih awal

Ketiga katanya, pada September 25, Khalid dan Adun Bukit Melawati A Mutthiah mengadakan majlis makan malam Deepavali. Dalam majlis tersebut Mutthiah memberi hamper dan sagu hati kepada ahli parti dan berkempen bagi pihak Khalid.

"Saya sangat hairan kerana perayaan (Deepavali) jatuh pada bulan November depan tetapi majlis pula di raihkan sebelum dua bulan sebelum itu", ujar beliau.

Muhammad Kamil menjelaskan bahawa beliau mengambil masa yang lama untuk membuat bantahan kerana kelewatan mengumpul bukti. " Saya mengaku mengambil masa yang lama untuk mengumpul bukti untuk mengukuhkan lagi tuduhan saya".

Pemilihan cabang Kuala Selangor pada 3 Oktober lalu menyaksikan Khalid selaku mantan ketua cabang menghadapi saingan tiga penjuru. Khalid memperoleh 772 undi, mengatasi pencabarnya Muhammad Kamil (348 undi) dan Mazli Saring (122 undi).

Tiada ulasan: