Jumaat, 15 Oktober 2010

Bajet 2011 gariskan formula rancakkan pelaburan swasta

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggiatkan lagi pelaburan swasta yang disasar berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun untuk mengekalkan pertumbuhan 6.0 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Untuk memastikan sasaran ini dicapai, Bajet 2011 akan memberi tumpukan terhadap sektor perkhidmatan, terutama dalam bidang yang mempunyai kelebihan seperti pasaran modal dan perkhidmatan kewangan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan kesihatan dan perniagaan, kata Kementerian Kewangan.

Pelaburan swasta akan dipercepat untuk membangunkan lagi aktiviti hiliran petroleum dan komoditi pertanian, sementara industri elektrik dan elektronik akan diberi keutamaan.

Potensi nilai yang unik dalam pelbagai koridor pertumbuhan akan terus digunakan bagi menarik pelaburan swasta, kata kementerian itu dalam Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Selain itu, perkongsian awam-swasta juga akan membuka peluang untuk peningkatan pelaburan dalam bidang strategik dan projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi, kata kementerian itu.

PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi, akan terus dibangunkan dan digalakkan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Dana dan khidmat nasihat akan disediakan untuk membantu syarikat dan perniagaan di peringkat permulaan.

Sementara itu, usaha akan terus diperhebat untuk meningkatkan lagi daya saing perkhidmatan dan produk Malaysia untuk membina jenama yang diiktiraf di peringkat global dan seterusnya bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Kementerian berkata isu ini memerlukan tindakan serta-merta disebabkan tahap pelaburan swasta yang rendah sejak krisis kewangan Asia dalam tahun 1997/98 walaupun pelbagai langkah diambil untuk memperbaiki iklim pelaburan.

Bajet 2011 yang merupakan belanjawan pertama RMK-10 adalah penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Ia menandakan titik peralihan dalam proses mentransformasikan ekonomi Malaysia ke aras sebuah negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi berdasarkan prinsip keterangkuman dan kemampanan seperti yang dijangkakan di bawah Model Ekonomi Baru

Tiada ulasan: