Jumaat, 15 Oktober 2010

Bajet 2011: Gaji minimum antara ribuan syor Najib terima

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Menjelang Bajet 2011 yang akan dibentangnya petang esok, Datuk Seri Najib Razak telah menerima banyak maklumat balas dalam blog beliau www.1malaysia.com khususnya mengenai pekerjaan.

“Daripada pelbagai isu yang dibangkitkan, saya dapati bidang pekerjaan paling banyak dibincangkan, dan ada antara anda mahu supaya dasar gaji minimum dilaksanakan,” kata Perdana Menteri dalam blognya itu hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.

Katanya, beliau telah menerima ribuan komen dalam blognya dalam tempoh dua minggu lepas setelah beliau meminta rakyat menyatakan harapan mereka untuk bajet kali ini.

“Saya telah membaca komen-komen ini dan telah memanjangkan sebahagian besar daripadanya kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji kemungkinan dimasukkan dalam bajet atau dalam program kerajaan yang lain,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara kedua yang banyak dibangkitkan ialah cukai dan subsidi, dengan terdapat cadangan supaya lebih banyak rebat cukai diberi kepada keluarga golongan muda selain cara untuk menyediakan bantuan kewangan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Najib berkata satu lagi perkara yang menjadi tumpuan ialah pendidikan, di mana terdapat kebimbangan yang dilahirkan mengenai mutu pendidikan dan kosnya yang meningkat.

Katanya terdapat juga komen yang meminta peruntukan lebih untuk menaik taraf perkhidmatan internet dan jalur lebar di seluruh negara.

“Saya juga dapati ada beberapa cadangan bagi mengatasi masalah yang khusus kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Najib berkata permintaan lain adalah bagi menambah insentif dan program untuk golongan kurang bernasib baik, mengawal harga barang keperluan pengguna, meningkatkan pembangunan luar bandar untuk menyediakan peluang perniagaan kepada belia, insentif bagi memajukan teknologi hijau, menambah peruntukan untuk keselamatan negara dan program bagi membendung kemasukan pendatang tanpa izin, serta banyak lagi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, Perdana Menteri berkata, input mereka akan membantu dalam proses transformasi negara.

“Saya dan pegawai-pegawai saya telah mengkaji semua idea ini dan akan menimbang untuk melaksanakan mana-mana yang berdaya maju, sama ada ia diserapkan dalam bajet ataupun tidak.

“Anda yang menyumbang komen dalam blog saya akan dapat mengenal pasti idea anda atau cetusan daripada idea ini dalam bajet nanti,” kata Najib.

Tiada ulasan: