Selasa, 5 Oktober 2010

Azmin mahu PKR ambil tindakan terhadap ahli burukkan parti


azmin-ali2 Oleh Muda Mohd Noor

AMPANG: Naib Presiden PKR, Azmin Ali mahu parti mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana ahli yang memburuk-burukkan parti dan para pemimpinnya.

Beliau berkata, "sudah sampai masanya parti berbuat demikian demi untuk kebaikan parti pada masa depan.

"Saya akan membawa perkara ini kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) supaya tindakan boleh diambil," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ng Lum Yong mengenai perbualan ‘konspirasi politik’ melibatkan beliau dalam usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

"Sepuluh hari lepas, saya menerima satu CD yang dipos dari seorang pengirim tanpa nama", katanya kepada Free Malaysia Today dalam satu sidang media, 30 September lalu.

CD selama 10 minit itu mengandungi satu rakaman perbualan telefon antara dua orang lelaki.

Mengulas mengenai pendedahan itu, Azmin yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR berkata, tiada siapa yang percaya dengan perkara tersebut.

"Khalid pun tidak percaya (dengan pendedahan itu)," katanya.

Azmin juga menegaskan PKR adalah parti rakyat, parti yang lahir atas kesedaran rakyat dan bukannya lahir di istana.

"PKR bukan parti Melayu tetapi untuk semua kaum, untuk kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

"Atas sebab itu saya mengajak semua supaya kembali kepada agenda asal PKR iaitu menawan Putrajaya untuk membawa perubahan dan keadilan kepada rakyat," katanya.

Tiada ulasan: