Ahad, 3 Oktober 2010

Askar Wataniah tidak amal unsur politik, kata Zahid

BERNAMA


KUCHING— Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa tiada unsur politik, perkauman mahupun sensitiviti kenegerian dalam penubuhan Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) di peringkat negeri.

Beliau berkata penubuhan JAKPAW selaras dengan konsep menganak-angkat Pasukan Angkatan Sukarela oleh kerajaan negeri di mana jawatankuasa itu akan merancang segala bentuk bantuan untuk membangunkan pasukan askar wataniah.

“Ingin saya tekankan bahawa segala usaha terhadap pembangunan askar wataniah adalah semata-mata untuk tujuan pertahanan dan keselamatan negara,” katanya pada majlis pemakaian Pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) kepada Ketua Menteri Sarawak yang juga Penaung JAKPAW Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Pangkat kolonel dipakaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Lt Kol Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang merupakan Pengerusi JAKPAW negeri dan Komander Rejimen 511 Askar Wataniah.

Ahmad Zahid (gambar) berkata JAKPAW juga bertanggungjawab menyebarkan maklumat sebagai usaha untuk mempercepatkan integrasi nasional, peningkatan produktiviti perindustrian sambil mewujudkan masyarakat yang peka, berwaspada dan berkebolehan menyumbang terhadap keselamatan negara.

JAKPAW juga berperanan menggalakkan penduduk untuk menyertai pasukan sukarelewan persekutuan bagi menjayakan konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) bagi mencapai “Pertahanan Nasional”, katanya.

“Saya berharap jawatankuasa ini akan mengadakan insentif-insentif dan keistimewaan serta pengiktirafan kepada mereka yang menyertai angkatan sukarela ini sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai menyertai angkatan sukarela ini,” katanya.

Ahmad Zahid juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan lebih banyak kem dan kawasan latihan yang kondusif bagi askar wataniah menjalankan latihan ketenteraan.

Dalam ucapannya, Taib menggalakkan rakyat di negeri ini menyertai askar wataniah bagi memupuk perasaan cintakan negara serta sanggup berkorban demi mempertahankan keselamatan, maruah dan kedaulatan negara.

“Usaha mempertahankan negara ini tidak harus dilonggokkan pada bahu pasukan keselamatan negara tetapi semua daripada kita harus bekerjasama untuk memikul tugas ini menjaga keamanan dan kemajuan yang dinikmati selama ini.

“Kita harus sentiasa bersiap untuk menghadapi sebarang kecemasan. Pengetahuan dan kemahiran ketenteraan memerlukan latihan yang mencukupi. Dengan menyertai askar wataniah, kita akan dilatih dan bersiap sedia untuk memelihara keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan pengamal media termasuk editor kanan menghadiri program “Lawatan Editor Kanan ke Pengkalan Hadapan” bermula semalam sehingga esok anjuran Kementerian Pertahanan.

Pada program tahunan itu, kumpulan media dibawa melawat ke lokasi hadapan operasi bagi meninjau kawasan dan diberikan taklimat mengenai tugas dan tanggungjawab pasukan berkenaan.

Hari ini kumpulan media berkenaan dibawa melawat ke Pos Serikin sebelum ke kawasan Jiwa Murni di Pekan Serikin, dekat sini.

Tiada ulasan: