Isnin, 11 Oktober 2010

Anggota Parlimen mengadu soalan ditolak

BERNAMA

KUALA LUMPURt – Tidak puas hati apabila beberapa soalan untuk pertanyaan jawab lisan mereka ditolak, seramai 17 anggota Parlimen daripada parti pembangkang dan anggota Bebas bangkit mempersoalkan perkara itu menyebabkan persidangan Dewan Rakyat tertunda hampir 45 minit.

Mereka terdiri daripada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka), William Leong Jee Keen (PKR-Selayang), Teo Nie Ching (DAP-Serdang), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Prof Dr P. Ramasamy (DAP-Batu Kawan) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Gwo Burne Loh (PKR-Kelana Jaya), Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok), Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang), Datuk Chua Soon Bui (BEBAS-Tawau), Wong Hong Leng (DAP-Sibu) dan M. Monagaran (DAP-Telok Intan).

Kesemua mereka menuntut penjelasan mengenai soalan-soalan yang dikemukakan, iaitu secara purata antara satu hingga empat soalan bagi setiap anggota Parlimen ditolak.

Isu itu berbangkit selepas selesai majlis bertakafur bagi menghormati kematian Datuk Edmund Chong Ket Wah (PBS-Batu Sapi) apabila Karpal Singh mengemukakan Peraturan Mesyuarat 23(1)(h) bagi mempersoalkan tindakan Parlimen menolak soalannya yang menyentuh mengenai Gagasan 1Malaysia.

“Soalan saya kepada Perdana Menteri meminta beliau untuk menyatakan setakat mana Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh beliau diterima dan sama ada beliau seorang Melayu dulu atau Malaysia dulu,” katanya.

Chong Chieng Jen pula mengadu soalannya mengenai sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat siasatan berhubung dakwaan pemilikan harta Ketua Menteri Sarawak yang besar di luar negara juga ditolak.

Turut ditolak soalan yang dikemukakan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mengenai tindakan Utusan Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa sering membangkitkan isu bersifat perkauman, manakala Nasharuddin kecewa kerana soalannya berhubung bahasa kebangsaan turut tidak tersenarai sebagai pertanyaan jawab lisan pada persidangan kali ini.

Mengulas isu soalan anggota Parlimen ditolak, Pandikar Amin berkata, beliau memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan Peraturan Mesyuarat.

“Anggota Parlimen harus yakin pemilihan soalan ini adalah berdasarkan prosedur Parlimen sedia ada...hanya saya, timbalan speaker dan pegawai Parlimen yang meneliti soalan itu,” katanya sekali gus menjawab soalan dikemukakan Nasharuddin yang meminta penjelasan mengenai prosedur sama ada kerajaan atau hanya institusi Parlimen yang menentukan sesuatu soalan diterima untuk dijawab.

Pandikar Amin berkata, beliau menganggap soalan-soalan yang dikemukakan oleh semua anggota Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang adalah soalan daripada rakyat.

Bagaimanapun beliau meminta sedikit masa untuk merujuk semula soalan-soalan yang dikemukakan itu sebelum beliau memberikan alasan kepada anggota Parlimen berkenaan.

Tiada ulasan: