Jumaat, 22 Oktober 2010

Aminulrasyid : Arwah Seorang Yang Patuh Pada Ibu

SELANGOR KINI

SHAH ALAM– Perbicaraan kes kematian Aminulrashid Amzah menyaksikan tiga orang saksi dipanggil lagi. Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar itu hanya akan disambung semula pada 28 Oktober ini.

Saksi yang dipanggil mengemukakan keterangan ialah kakak kedua Aminulrasyid, Tuty Shaninza Anom Amzah, merupakan pemilik kereta jenis Proton Iswara putih yang dipandu Aminul pada hari kejadian, suami Tuty, Muzafar Mahali dan bapa mentua Tuty, Mahali Ramlan yang merupakan pemilik berdaftar kereta itu.

Ketiga-tiga saksi itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap anggota polis, Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Ditanya mengenai perwatakan Aminulrasyid, Tuty Shaninza berkata adiknya merupakan seorang yang aktif bersukan, bijak, manja serta tidak pernah melawan cakap ibunya.

Aminul (kanan) seorang pelajar yang aktif dan periang, selain menjadi kesayangan guru-guru dan rakan-rakan

Dalam keterangannya, Tuty Shaninza, 36, berkata, beliau tidak pernah meletakkan parang di dalam kereta itu, dan ketika ditunjukkan sebilah parang yang merupakan satu daripada barang kes, saksi pendakwaan ke-20 itu berkata, beliau tidak pernah melihatnya dan tidak tahu siapa pemiliknya.

Tuty Shaninza juga berkata, beliau tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa parang sebelum kejadian.

Mahali, 69, yang merupakan saksi ke-21 pendakwaan, pula berkata, beliau tidak pernah menyimpan parang dalam kereta itu yang dibelinya pada 2006 sehingga beliau memberikan kereta itu kepada Tuty Shaninza, empat bulan selepas itu.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menunjukkan parang itu, Mahali menafikan bahawa beliau pernah melihatnya. Muzafar, 36, dalam keterangannya juga menafikan bahawa beliau pernah nampak dan meletakkan parang dalam kereta itu.

Saksi ke-22 pendakwaan itu berkata, beliau tidak tahu siapa pemilik parang itu dan menafikan bahawa isterinya, Tuty Shaninza, ada membawa parang dalam kereta itu.

Saksi itu berkata, bahawa pada 25 April lepas, beliau memandu kereta itu ke rumah ibunya di No 26, Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11, untuk bermalam di situ, dan apabila tiba di rumah itu beliau melihat Aminulrasyid sedang menyiapkan kerja sekolahnya di meja makan.

“Aminulrasyid kemudian minta saya masakkan nasi goreng untuknya dan kami kemudian makan bersama-sama ibu dan tiga anak saya. Selepas mengemas meja makan, saya letakkan kunci kereta di tempat letak kunci di dalam rumah dan Aminulrasyid menyambung kembali kerja sekolahnya.

Saya kemudian masuk tidur di bilik ibu yang terletak di tingkat atas,” katanya seperti dipetik Bernama.

Tuty Shaninza, seorang pakar warna, berkata bahawa pada pukul 3.30 pagi, beliau menerima panggilan daripada suaminya (Muzafar) yang bertanyakan di mana kereta Proton Iswara itu berada dan beliau menjawab kereta itu berada di tempat letak kereta di rumah.

“Suami minta saya pastikan sama ada kereta itu masih ada tempatnya atau tidak dan apabila saya turun lihat, kereta Iswara saya tiada, yang ada cuma kereta Proton Saga milik adik lelaki saya, Muhammad Shahreeman Putra. Kemudian suami suruh saya periksa sama ada adik-adik saya ada di rumah dan apabila diperiksa cuma Aminulrasyid sahaja tiada di biliknya. Saya cuba hubungi telefon bimbit Aminulrasyid tetapi tidak berjawab.

“Apabila saya dapati kereta tiada, saya keluar ke pintu pagar rumah dan saya nampak kereta peronda polis di hujung simpang jalan masuk ke rumah ibu saya.

Selepas itu saya kejutkan ibu dan Muhammad Shahreeman dan kami terus pergi ke simpang jalan dan apabila saya bertanyakan anggota polis apa yang berlaku mereka tidak cakap apa-apa. Kemudian saya nampak kereta saya terjungkit di depan tembok putih dan bila saya cuba pergi ke kereta saya telah dihalang oleh polis,” katanya.

Tuty Shaninza berkata, beliau cuba bertanyakan kepada anggota polis di mana pemandu kereta Iswara itu tetapi anggota polis itu berkata, beliau tidak boleh beritahu apa-apa tanpa arahan pihak atasan.

Saksi itu berkata, beliau hanya mengetahui bahawa Aminulrasyid terlibat dalam kejadian itu apabila dibenarkan membuat pengecaman mayat mangsa di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 3 petang hari kejadian.

Tiada ulasan: