Ahad, 3 Oktober 2010

Al-Quran tulisan Braille sumbangan istimewa bagi pelajar buta

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Sebelum ini, Mohd Nor Saad mempelajari Al-Quran dengan mendengar menerusi bacaan daripada orang lain dan melalui pemain muzik MP3, sebelum menghafalnya.

Tetapi mulai hari ini pelajar cacat penglihatan itu sudah boleh menghayati kitab suci itu melalui sentuhan jari.

“Saya amat gembira kerana berpeluang membaca Al-Quran seperti orang lain, walaupun tidak dapat melihat tapi saya sudah berpuas hati dapat menyentuh ayat-ayat suci ini buat pertama kalinya,” katanya.

“Malahan, sebelum ini saya tidak tahu sama ada harakat yang saya pelajari dengan menghafal selepas mendengarnya, betul atau tidak, selepas ini saya dapat menganalisis kembali segala kesalahan harakat di dalam bacaan,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Mohd Nor merupakan salah seorang daripada 20 pelajar Pusat Latihan Orang Buta Brickfields yang menerima naskah Al-Quran dalam tulisan Braille dua hari, lepas.

Rakannya, Mohd Firdaus Endut, 22, tidak dapat mengambarkan perasaan terharunya, kerana dapat memiliki Al-Quran yang boleh disentuh hurufnya.

“Al-Quran ini amat bererti dalam hidup saya,” katanya.

Terdahulu, Presiden Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia, Mah Hassan Omar berkata penghasilan Al-Quran dalam tulisan Braille ini mula dirangka seawall tahun 1970.

Menurutnya, sebelum ini persatuan orang buta meminta bantuan daripada satu Yayasan Kebajikan di Indonesia untuk membekalkan Al-Quran tulisan Braille pada helaian plastik.

“Namun, bekalan itu tidak dapat lagi dihantar ekoran pemintaan untuk Al-Quran di sana perlu dipenuhi terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama di sini.

Mah Hassan, graduan Universiti Malaya dalam jurusan undang-undang yang juga cacat penglihatan berkata, beliau mula mengambil langkah untuk menghasilkan kitab suci ini dengan kerjasama Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

“Senaskah Al-Quran ini berharga RM300 untuk yang berkulit keras dan RM250 untuk yang berkulit lembut,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan individu cacat penglihatan yang memerlukan Al-Quran untuk pengajian dan bacaan harian dan mereka boleh mendapatkannya secara percuma di persatuan ini.

Individu dan organisasi yang ingin membantu meneruskan usaha penerbitan ini boleh menghubungi persatuan di talian 03-40220045 atau Mah Hassan di talian 013-3905764. —

Tiada ulasan: