Khamis, 7 Oktober 2010

Akuan sumpah: Ketua Penerangan PKR nafi dakwaan bekas pembantu Anwar

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah memaksa seorang saksi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menandatangani dua akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Latheefa mendakwa saksi itu Rahimi Osman, yang satu ketika dulu merupakan pembantu Anwar secara “sukarela” telah bekerjasama dengan pasukan guaman penasihat PKR itu semasa menandatangani akuan bersumpah itu pada Jun 2008.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenakan tekanan ke atas dia.

“Ketika itu dia merupakan saksi yang berpotensi dalam kes Anwar, sebagai sebahagian daripada pasukan pembela, kami hanya menyediakan kenyataan-kenyataan melibatkan saksi-saksi berpotensi, yang merupakan perkara biasa dalam mana-mana pembelaan perundangan,” kata beliau dalam kenyataan SMS petang tadi.

Latheefa yang melabel dakwaan Rahimi ke atas dirinya dan anggota PKR yang lain sebagai “fitnah dan tohmahan” bercadang mengambil tindakan ke atas bekas pembantu Anwar itu.

Terdahulu ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider, Latheefa berkata adalah sesuatu yang tidak masuk akal Rahimi boleh membuat kenyataan bahawa dia dipaksa menandatangani deklarasi seumpama itu memandangkan ia tidak digunakan oleh pasukan pembela setakat ini.

“Kami hanya menghimpunkan kenyataan daripada saksi-saksi yang kenal Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dia (Rahimi) kenal sangat (saksi utama itu),” katanya lagi.

Rahimi adalah rakan satu sekolah Saiful dan dipercayai telah dirujuk kepada Anwar agar mengambil dia kerja pada 2008.

“Akuan-akuan bersumpah tidak menyelesaikan masalah kami sebab ia tidak digunakan... ia bukan sesuatu yang luar biasa.

“Lebih-lebih lagi, apa sahaja yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu sudah pun dibangkitkan dalam perbicaraan,” kata Latheefa.

Justeru katanya, beliau akan memanggil satu sidang media dalam waktu terdekat.

Terdahulu, peguam pasukan Anwar, Sankara Nair dalam reaksinya menafikan dakwaan Rahimi bahawa bekas pembantu Ketua Umum Pakatan Rakyat itu telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah berkaitan kes liwat akhir Jun 2008.

Sankara berkata, Rahimi menandatangani akuan bersumpah itu secara sukarela selepas mengadakan pertemuan dengan peguam-peguam Anwar di Quality Hotel dua tahun lalu.

“Saya hendak menegaskan di sini bahawa Rahimi tidak dipaksa menandatangani akuan bersumpah. Dia menyediakan akuan bersumpah secara sukarela yang memihak kepada Anwar,” katanya.

“Dia (Rahimi) dengan bebas memberi maklumat... saya hadir bersama dengan beberapa peguam semasa dia menerangkan apa yang sebenarnya telah berlaku,” kata beliau kepada The Malaysian Insider petang ini.

Sankara juga berkata Latheefa, yang juga salah seorang peguam kes Anwar dalam kes liwat terbaru sekarang ditanggungjawabkan untuk mendapatkan tandatangan Rahimi pada akuan bersumpah yang dimaksudkan.

Petang tadi, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa mengaitkan Najib dan Rosmah kes liwat kedua dihadapi Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah.

Rahimi berkata beliau telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful.

Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.

Laporan polis dibuat Rahimi kira-kira 3.03 petang tadi.

Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008.

Tiada ulasan: