Selasa, 5 Oktober 2010

Agong bakal dimasyhurkan sebagai canselor pertama UPNM 10 Okt ini

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sempena majlis konvokesyen universiti itu yang julung kali diadakan pada 10 Okt ini.

Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd Noor berkata turut berlangsung adalah majlis pengisytiharan dua Pro-Canselor universiti itu dan penganugerahan ijazah sarjana muda kepada 148 graduan membabitkan 144 pegawai kadet dan empat pelajar awam.

“Dua Pro-Canselor itu adalah Brig Jen Tunku Sri Panglima Besar Kedah Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Jen Tan Sri Mohd Ghazali Mohamed Seth.

“Sejak mula ditubuhkan pada 2006, konvokesyen ini bakal meraikan 148 graduan pertama meliputi 32 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi, 36 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dan Pertahanan, 22 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan 58 pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim,” katanya pada sidang akhbar mengenai konvokesyen itu di sini hari ini.

Allatif berkata walaupun UPNM adalah sebuah universiti awam di negara ini, namun ia mempunyai keunikan tersendiri kerana bakal graduan turut diajar dalam bidang ketenteraan selain bidang umum lain.

Beliau berkata tiada jurang yang jauh membabitkan graduan daripada pegawai kadet dan awam memandangkan kesemua aspek ditekankan ketika proses pembelajaran termasuk latihan ketenteraan, keseragaman, pakaian dan hal-hal pentadbiran.

“Pegawai kadet yang berjaya menamatkan pengajian di UPNM akan ditauliahkan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai kapten atau setaraf.

“Mereka ini telahpun dilengkapkan dengan keperluan tenaga manusia ATM berlandaskan tahap dan profesionalisme yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata pelajar awam pula yang berjaya menamatkan pengajian diharap dapat memilih untuk menyertai perkhidmatan dalam sektor kerajaan dan perkhidmatan beruniform, antaranya Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Tiada ulasan: