Sabtu, 23 Oktober 2010

AGM Umno dakwa bukan Melayu BN tidak ikhlas bantu Melayu



Mohamad Farid: Jika tidak, lebih cepatlah orang Melayu diusir. Hari ini tanah milik orang Melayu di daerah timur laut (Pulau Pinang) hanyalah 1.16 peratus saja. - Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR- Perwakilan Umno Melaka mendakwa masyarakat bukan Melayu tidak ikhlas sebagai sahabat apatah lagi bekerjasama dalam Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.

Datuk Hasnoor Sidang Husin berkata, apabila orang Melayu mulai leka, orang bukan Melayu kelihatan mengambil kesempatan untuk memonopoli ekonomi negara.

“Adakah kuota 30 peratus untuk Bumiputera terlaksana?

“Pada pendapat saya, kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah kerana orang bukan Melayu tidak bantu pencapaian tersebut.

“Sehingga hari ini, bukan sahaja tidak bantu, sebaliknya mempertikaikan dasar tersebut,” kata beliau ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.

“Pada pendapat saya pacal yang hina, orang bukan Melayu tidak ikhlas sebagai sahabat kita dalam BN,” kata Hasnoor yang juga pemimpin Umno Bukit Katil.

Menurut Hasnoor, kerajaan perlu mewujudkan ekosistem ekonomi yang bersandarkan keadilan sosial dan bukan ditentukan oleh pasaran semata-mata.

“Mengagihkan kek ekonomi hendaklah seperti permainan golf, bukan seperti permainan ragbi yang semuanya dalam keadaan ganas.

“Betulkan ini, pasaran tak sempurna. Wujudkan padang permainan yang sama rata.

“Sektor swasta mesti dipatikan jadi pemacu ekonomi dan menghapuskan diskriminasi terhadap kaum bumiputera,” katanya.

Terdahulu, wakil Negeri Sembilan menyarankan agar kuota pembahagian kerusi BN dikaji semula bagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Ketua Umno Jelebu Datuk Jalaluddin Alias yang senada dengan saranan beberapa pemimpin Umno sebelum ini berkata sekiranya sesebuah kawasan itu calon popularnya adalah orang Melayu, meskipun kerusi itu dimiliki oleh parti komponen lain, calon Umno perlu diletak untuk bertanding bagi memperolehi kemenangan.

“Untuk menebus “pertukaran kerusi” itu, calon yang tidak bertanding pula masih boleh dilantik ke jawatan Menteri dan Timbalan Menteri dengan perlantikan sebagai senator,” katanya.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berpendapat BN tidak perlu lagi meletak calon di sesuatu tempat cuma untuk memenuhi kuota tanpa mengambil kira penerimaan rakyat di kawasan berkenaan.


Hasnoor: Adakah kuota 30 peratus untuk Bumiputera terlaksana?
Sementara laporan Bernama menyebut, keadaan orang Melayu di Pulau Pinang sangat kritikal terutama dalam isu pemilikan tanah dan ketika ini kira-kira 7,000 penduduk negeri berhadapan dengan risiko diusir dari rumah yang mereka duduki.

Wakil Umno Pulau Pinang Mohamad Farid Saad mendedahkan hasil maklum balas kajian Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yang dikumpul dari 13 ketua bahagian berkata, penduduk dari 60 perkampungan di Pulau Pinang didapati akan kehilangan tempat tinggal kerana tanah rumah yang didiami sekarang bukan milik mereka.

Katanya kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP dilihat semakin melampau apabila mereka mula membuka tanah yang selama ini dipertahan, untuk dibangunkan, dan beliau memberi contoh satu lot tanah yang di Sungai Burung yang dikhaskan untuk sawah dikeluarkan dari gazet, dan satu lagi kes yang membabitkan sebahagian daripada Taman Negeri yang dibuka untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan.

“Kes ini akan membuka laluan kepada pembukaan kawasan-kawasan lain dari kategori yang sama. Ini semua adalah penyalahgunaan kuasa yang mesti dihentikan,” kata Ahli Umno Balik Pulau itu ketika membahaskan usul ucapan presiden.

Mohamad Farid berkata apa yang berlaku di Pulau Pinang sekarang merupakan contoh kes pengusiran melalui polisi dasar, selain berlakunya pengusiran secara fizikal, psikologi dan terang-terangan.

Mohamad Farid berkata kerajaan perlu mempunyai kuasa untuk menghalang pembangunan di kawasan yang digazet, seperti kawasan-kawasan yang sensitif dalam menjaga alam sekitar di semua negeri.

“Jika tidak, lebih cepatlah orang Melayu diusir. Hari ini tanah milik orang Melayu di daerah timur laut hanyalah 1.16 peratus saja, tanah di Balik Pulau hanya 15.07 peratus, di Seberang Perai 44.2 peratus, Seberang Perai Tengah 23.5 peratus dan di Seberang Perai Selatan 18.09 peratus sahaja milik orang Melayu,” katanya dan menambah ketika ini hanya 20.41 peratus sahaja tanah di Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah milik orang Melayu.

Beliau berkata orang Melayu sudah lama bertapak di Pulau Pinang, tetapi hari ini, sedikit demi sedikit tanah yang dimiliki turun temurun dijual dan bertukar tangan.

Menurutnya jika generasi dahulu boleh bertolak ansur, generasi baru tidak ada lagi belas kasihan, di mana yang ada kini hanyalah ‘you keluar dari sini, kalau tak puas hati jumpa di mahkamah nanti’.

Mohamad Farid berkata hakikat yang perlu diterima ialah keadaan ini berpunca daripada kealpaan “pemimpin dahulu”.

Tiada ulasan: