Sabtu, 23 Oktober 2010

Adakah dividen PNB dipotong untuk bina menara 100 tingkat?


pnb Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS-Pokok Sena Mahfuz Omar meragui kemampuan kewangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membina Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat, kini menjadi isu kontroversi yang hangat.

Dalam satu taklimat kepada para pemberita di sini semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Hamad Kama Piah Che Othman berkata dana untuk membiayai pembinaan menara itu akan dijana dari sumber dalaman.

Tetapi beliau juga tidak menolak kemungkinan PNB, syarikat induk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) itu, untuk mendapatkan pinjaman dari luar jika perlu.

Mahfuz berkata, "saya ingin mengingatkan beliau bahawa dana unit amanah ASNB kini ialah RM115 bilion. Saya tidak fikir PNB mempunyai lebih banyak dana dari apa yang dikutip dari orang ramai.

"Saya ingin menegaskan bahawa kos pembinaan menara ini, secara langsung atau tidak langsung, akan melibatkan unit amanah," katanya, menambah, "keuntungan yang diperolehi sepatutnya disalurkan kepada orang awam (pemegang-pemegang unit amanah).

Tidak adil jika…..

Menurut beliau, adalah tidak adil kepada rakyat, jika keuntungannya digunakan sepenuhnya untuk membiayai pembinaan menara setinggi 100 tingkat itu.

"Dalam situasi ini, adalah tidak adil ketika mana kita sudah mempunyai banyak bangunan yang kosong," katanya.

Mahfuz menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak menghadapi masalah kekurangan ruang pejabat kerana Naza TTDI Sdn Bhd juga akan membina sebuah kompleks yang terdiri dari Matrade Centre, pejabat dan kediaman serta hotel yang bernilai RM15 bilion.

Perdana Menteri Najib Tun Razak minggu lalu, mengumumkan dalam Bajet 2011 bahawa kerajaan akan membina sebuah menara mega untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Kempen tandatangan

Berhubung dengan isu ini, Pemuda Pakatan Rakyat akan melancarkan kempen tandatangan menentang projek pencakar langit, yang melibatkan kos sebanyak RM5 bilion.

Bercakap kepada para pemberita sebelum itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Kuala Lumpur sudah "padat" dengan bangunan, kenderaan dan manusia.

Kuala Lumpur tidak perlu lagi kepada bangunan baru yang akan menyebabkan perancangan bandar yang lemah hingga membawa kepada kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan pengangkutan awam.

Memandangkan hal ini, katanya, Pakatan Rakyat akan menjalankan kempen tandatangan untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai.

"Kami akan mengutip 100,000 tandatangan pada penghujung sesi Parlimen Disember ini dan kami akan kemukakan kepada perdana menteri setelah siap dikumpulkan," katanya.

Beliau berkata pembinaan menara mega itu tidak perlu kerana Kuala Lumpur telah pun mempunyai banyak bangunan seperti kompleks pejabat Dayabumi "yang masih kosong".

Shamsul juga meluahkan kebimbangannya tentang penglibatan PNB dalam projek ini, di mana beliau mendakwa telah terpesong dari objektifnya untuk menjaga kepentingan Bumiputera.

"Menara itu bukan keutamaan. Malahan, ia menunjukkan kembalinya fahaman "Mahathirisme" dalam mengurus ekonomi melalui projek-projek mega.

Walaupun PNB menggunakan dana dari sumber dalamannya tanpa menyentuh wang pelabur, adakah projek bernilai RM5 bilion itu boleh menguntungkan rakyat?," soal beliau

Tiada ulasan: