Rabu, 15 September 2010

Zaid nafi ditaja ahli perniagaan untuk hancurkan parti


Zaid 3 Oleh Staf FMT

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau ditaja oleh ahli perniagaan, Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti itu.

Demikian kenyataannya yang dipetik dalam blog ‘www.zaiduntukrakyat.com‘, bahawa sejak isu pemilihan parti timbul, ungkapan ‘musuh parti’ itu kerap kedengaran.

Sedangkan katanya, beliau meletakkan diri sebagai calon alternatif kepada ahli PKR dalam membuat pilihan.

"Saya ditanya pemimpin keadilan ketika sampai di Kuching adakah benar saya ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti? Itukah cara kempen setakat ini? Bahawa saya ini pengkhianat dan saya orang baru?

"Saya menawarkan diri sebagai calon hanyalah kalau ahli Keadilan (PKR) mahu alternatif dalam membuat perhitungan. Sebab saya boleh menjadi aset kepada parti akan dihuraikan selepas dapat pencalonan nanti.

"Pada pendapat saya, isu kempen sebenarnya mudah sekali. Jika ahli-ahli Keadilan (PKR) selesa dan berpuas hati dengan prestasi parti berteras reformasi ini, maka pilihlah calon-calon yang setia dan mereka dari Reformasi 1998. Jika ahli-ahli Keadilan percaya bahawa semua masalah dan kelemahan parti kita adalah ciptaan dan kerenah Umno, mereka patut memilih pemimpin yang sedia ada sebagai calon," katanya.

Zaid turut mempersoalkan kenyataan Ketua Cabang PKR Kelana Jaya Syed Shahir Syed Mohamud, baru-baru ini yang memberi amaran bahawa PKR kini dimasuki musuh.

"Sejak isu pemilihan parti timbul, ungkapan ‘musuh parti’ ini kerap kedengaran. Agaknya, sesiapa yang menawarkan perkhidmatan semasa pemilihan ini tetapi tidak direstui adalah itu yang disebutkan ‘musuh parti’ dan musuh perjuangan.

"Siapakah dan berapakah ahli-ahli ini, dia (Syed Shahir) tidak sebut," soalnya.

Tidak masuk akal untuk jawab

Zaid enggan menjawab segala tohmahan dan tuduhan berhubung tajaan oleh Soh yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Bagi Zaid tiada keperluan untuk dirinya dibiayai oleh Soh mahupun sesiapa,sedangkan jawatan timbalan itu hanya untuk glamor dan nama sahaja.

"(Datuk) Soh setahu saya, adalah rakan akrab dan setia Datuk Anwar Ibrahim dan telah membantu Keadilan (PKR). Azmin Ali, Syed Shahir dan Chua Jui Meng tahu hal ini. Saya kenal Chee Wen kerana dia dilantik oleh Anwar untuk menganggotai biro politik PKR sembilan bulan lalu.

"Amat tidak masuk akal untuk (Datuk) Soh digambarkan sebagai orang jahat dengan serta-merta bila berkawan dengan saya, tetapi bila berkawan dengan Anwar, dia orang yang baik. Ini aneh sekali.

"Jawatan timbalan itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada banyak kuasa sangat," katanya.

Tiada ulasan: