Isnin, 27 September 2010

Wira Perkasa cadang adakan Rundingan Meja Bulat dengan Pemuda Umno, PAS dan PKR

BERNAMA

ALOR SETAR — Wira Perkasa Kedah hari ini mencadangkan supaya diadakan Rundingan Meja Bulat melibatkan Pemuda Umno, Pemuda Pas, Angkatan Muda Keadilan dan pertubuhan itu bagi membincangkan beberapa isu yang menyebabkan perpecahan Melayu.

Ketuanya Shaharol Niza Omar berkata tujuan rundingan itu diadakan bagi merungkai permasalahan dan pertelingkahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Perkasa dan parti-parti politik itu.

“Saya berharap apabila rundingan ini dibuat, semua parti politik berasaskan Melayu ini dapat membuang ego (masing-masing) demi melihat agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu terus dihormati,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata walaupun semua parti berbeza ideologi politik, tetapi beliau mengajak semua parti bersatu hati dalam tiga perkara asas itu iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu.

“Apa yang dicadangkan nanti adalah pada akhir rundingan itu kita akan mendapat satu resolusi secara bersama berkenaan dengan agama Islam, hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan Raja-raja Melayu,” katanya.

Katanya beliau mencadangkan supaya keempat-empat pertubuhan itu termasuk Wira Perkasa memberi penerangan secara ringkas berkenaan perlembagaan pertubuhan masing-masing yang menyentuh kepada ketiga-tiga asas itu.

“Ia bertujuan supaya masing-masing dapat memahami asas perjuangan dan dapat mengelakkan persengketaan pada masa hadapan yang akan merugikan nasib bangsa Melayu sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa cadangan Rundingan Meja Bulat itu tidak mempunyai apa-apa agenda politik, sebaliknya ia hanya inisiatif Wira Perkasa Kedah.

“Saya harap pemuda bagi ketiga-tiga parti itu dapat memberi maklum balas terhadap cadangan ini dan apabila maklum balas positif diterima, saya akan menjemput ketua-ketua pemuda berbincang bagi mendapatkan tarikh yang sesuai untuk rundingan itu.

“Kita mulakan di Kedah dahulu dan jika mendapat maklum balas yang baik, kita akan teruskan di peringkat kebangsaan,” katanya

Tiada ulasan: