Rabu, 15 September 2010

Wanita PKR kutuk pembunuhan kejam ke atas wanita

FREE MALAYSIA TODAY

LOGO PKR 1 PETALING JAYA: Wanita PKR mengucapkan simpati dan takziah kepada keluarga Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain atas pembunuhan kejam ke atas mereka beberapa hari lalu.

Berikutan kejadian itu, ketuanya Zuraida Kamaruddin mengecam pembunuhan ke atas jutawan kosmetik dan tiga rakannya ketika lebaran sambil menyifatkan perbuatan terkutuk dan sesuatu yang kejam dan zalim.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mereka didakwa dibunuh dis ebuah ladang kelapa sawit di Banting. Polis telah menahan lapan orang termasuk peguam berpangkat datuk berhubung pembunuhan tersebut.

Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin, berkata tragedi menimpa Sosilawati itu satu lagi episod pencabulan terhadap wanita di negara ini.

Jika sebelum ini negara digemparkan dengan kematian ngeri model terkenal dari Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh kejam dengan letupan bom beberapa tahun lalu, kini episod itu berulang namun skrip dan individu yang terlibat adalah berbeza.

"Perasaan hormat kepada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis. Jika dulu kematian ngeri membabitkan model Altantuya Shaariibuu kini Sosilawati.

"Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin," katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Selain Altantuya dan Sosilawati beliau turut merujuk kepada pembunuhan seorang lagi mangsa wanita seperti Mustakhizah pada 14 November 1988.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal memainkan fungsinya bagi menyelesaikan beberapa kes pembunuhan melibatkan wanita tersebut.

"Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi.

"Sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita," katanya.

Zuraidah berharap agar tindakan tegas diambil PDRM serta ketua polis yang baru dilantik, Tan Sri Ismail Omar agar perubahan langsung dapat dibawa agar keamanan dan keselamatan rakyat terus terjamin.

Beliau mahu agar siasatan segera dilakukan agar pelaku jenayah tersebut dihadapkan ke muka pengadilan.

Tiada ulasan: