Ahad, 19 September 2010

Wang ihsan: Muslihat terbaru Umno serang Guan Eng, kata kerajaan negeri


KEPALA BATAS — Kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat menafikan dakwaan pihak tertentu termasuk Pemuda Umno bahawa pemberian wang ihsan kepada warga emas RM100 setahun dan RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia datangnya daripada hasil judi.

Kerajaan negeri juga menganggap ia sebagai muslihat terbaru Umno untuk menyerang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng selepas gagal dalam isu khutbah bulan lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata, pemberian wang tersebut adalah hasil pendekatan jimat cermat yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat sejak mula Mac 2008.

“Pada 2008 perbelanjaan yang berhemah dan sikap jimat cermat oleh kerajaan negeri, daripada peruntukkan sebanyak RM318.56 juta yang dibelanjakan hanya RM283.15 juta.

“Penjimatan sebanyak RM35.41 juta atau 11 peratus telah digunakan untuk manfaat warga emas dan waris mereka yang kehilangan ibu dan bapa,” katanya.

Justeru Ng yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri berkata, dakwaan yang dilemparkan Ketua Penerangan Pemuda Umno semalam adalah satu tohmahan dan fitnah yang amat merbahaya bagi meracuni pemikiran rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar berkata demikian pada ceramah isu semasa anjuran PAS kawasan Tasek Gelugor di Taman Telok Air Tawar Indah, Seberang Perai Utara malam tadi yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah.

Semalam Ketua Penerangan Pemuda pusat Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia menerusi program Penghargaan Warga Emas menggunakan wang dari sumber judi.

Reezal juga berkata dakwaan tersebut telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang hati segelintir penerima wang tersebut, khususnya yang beragama Islam.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bukan menuduh kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk melaksanakan program penghargaan warga emas sebaliknya hanya mahu penjelasan berhubung dakwaan itu bagi menghilangkan keraguan.

Ng yang juga Setiausaha Pemuda DAP Pulau Pinang turut melahirkan kekecewaan beliau dengan tindakan melampau Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan dengan membuat andaian dan tuduhan sedemikian.

“Sebenarnya Umno dan BN semakin hilang taring mereka. “Atas kesedaran inilah, maka mereka mencuba pelbagai muslihat untuk memberi imej yang buruk terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata beliau.

Ng menambah, Umno beranggapan bahawa apabila orang Melayu terpengaruh dan terpedaya dengan perangkap mereka maka DAP, PAS dan PKR akan dilabelkan sebagai parti yang melampau dan tidak patut diberi sokongan menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Ini adalah antara taktik dan strategi politik yang mereka rencanakan bagi memerangkap Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“Tapi saya optimis rakyat tidak lagi boleh diperdaya oleh Umno dan BN setelah melihat kejayaan kepimpinan Pakatan di Pulau Pinang,” ujar Ng.

Tiada ulasan: