Rabu, 15 September 2010

Wan Azizah, 3 lagi menang ketua cabang PKR

Mohd Ali Hashim

GEORGETOWN: Empat Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya memenangi ketua cabang tanpa bertanding di Pulau Pinang.

Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah (gambar) berjaya mempertahankan jawatannya di Permatang Pauh apabila menang tanpa bertanding.

Manakala Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman yang mencuba nasib bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh akan ditentang oleh Che Mat Hashim dan Roselai Muhamad.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Tan Hock Leong yang juga merupakan Ketua Penerangan PKR Negeri turut memenangi Ketua Cabang bagi Bukit Mertajam.

Sementara itu Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim turut tidak dicabar apabila berjaya memenangi Ketua Cabang Tanjung dengan selesa.

Manakala seorang lagi Exco Kerajaan Negeri yang berjaya memenangi Ketua Cabang tanpa bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Bukit Tambun.

Beliau menang tanpa bertanding bagi Ketua Cabang Batu Kawan.

Sembilan lagi cabang akan menghadapi tentangan antara satu sama lain bagi merebut jawatan ketua, timbalan dan naib.

Speaker Dun Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain akan turut dicabar oleh Mohd Sukri Ishak bagi jawatan Ketua Cabang di Balik Pulau.

Bagi Cabang Bukit Gelugor pula Adun Batu Uban, Raveentharan Subramaniam akan dicabar oleh Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Lim Boo Chang.

Ustaz Maktar Shapee yang juga Adun Sungei Bakap akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal.

Beliau turut ditentang oleh Naib Ketua AMK Pulau Pinang, Mohd Rizal Abd Hamid. Dua lagi calon ialah Shafie Ahmad dan Mohamad Sarif Man.

Adun Kebun Bunga, Ong Khan Lee akan turut ditentang satu lawan satu bagi Cabang Bukit Bendera untuk jawatan Ketua Cabang.

Ketua Bayan Baru yang dikosongkan oleh Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim selepas menjadi wakil rakyat Bebas turut menjadi rebutan antara Adun Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin yang akan dicabar oleh M Ngnana Sagaran Muthusamy.

Menurut Pegawai Pemilihan PKR Negeri Pulau Pinang, Rezal Huzairi Md Zaki, bagi Cabang Bagan, Ahmad Farid Md Arshad akan ditentang oleh dua lagi calon dalam pertandingan tiga penjuru.

Di Tasek Gelugor pula, Mohamad Hashim akan ditentang oleh Mohamed Wasir Mohamed dalam pertandingan satu lawan satu untuk jawatan Ketua Cabang.

Bagi Cabang Kepala Batas pula Zaini Awang akan ditentang oleh Abdul Latif Abdullah.

Cabang Jelutong akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Cheah Kah Peng, Ong Beng Toe dan Shahul Hameed MK Mohamed Ishack.

Pemilihan bagi merebut jawatan tersebut akan bermula pada 17 September ini.

PKR juga merupakan parti yang pertama mengadakan proses pemilihan secara demokrasi sepenuhnya dengan memberi kuasa penuh kepada hampir setengah juta ahlinya untuk membuat pilihan bagi memilih pucuk pimpinan parti.

Tiada ulasan: