Rabu, 1 September 2010

Umno Rantau Panjang akhiri ‘perang saudara’ dua tahun

BERNAMA

RANTAU PANJANG – Kemelut “perang saudara” selama dua tahun Umno bahagian Rantau Panjang berakhir hari ini apabila pihak kepimpinan dan bekas pemimpin bahagian itu bersetuju untuk berdamai demi perpaduan parti.

Pengumuman perdamaian itu dibuat oleh ketiga-tiga pihak iaitu Ketua Umno bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian, Datuk Mohamad Zain Ismail serta bekas Bendahari Umno bahagian itu, Ghazali Ismail.

Majlis itu berlangsung dalam satu pertemuan dengan anggota jawatankuasa bahagian, penyokong mereka dan disaksikan Bendahari Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanapi Mamat di Pusat Kegiatan Kemas Rantau Panjang, Lubok Jong di sini.

Dalam ucapannya, Mohamad Zain berkata kemelut yang berlarutan sekian lama itu berjaya diselesaikan dengan beberapa perkara yang dibincangkan mendapat tolak ansur daripada kedua-dua pihak.

Perpecahan berlaku di bahagian itu sejak 2008 menyebabkan wujud dua puak iaitu pimpinan Abdullah dan Mohamad Zain.

Berikutan itu, Majlis Tertinggi Umno memutuskan pada 22 Julai lepas agar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyelesaikan masalah itu.

Pada majlis yang sama, Abdullah berkata hasratnya untuk mencapai perdamaian hari ini demi menyatukan Umno bahagian tersebut untuk menguatkan kembali Umno negeri.

Abdullah berkata antara tolak ansur yang dicapai ialah beliau bersetuju untuk memberi beberapa jawatan dalam Umno bahagian kepada Mat Zain dan Ghazali.

“Selepas permohonan untuk dipertimbangkan penggantungan keahlian Mohamad Zain dan Ghazali oleh pucuk pimpinan parti diputuskan, saya akan lakukan perkongsian kuasa itu,” katanya.

Tiada ulasan: