Rabu, 15 September 2010

Umno Pulau Pinang minta Gerakan serah kerusi jika tak yakin hadapi PRU-13

KUALA LUMPUR – Umno Pulau Pinang menggesa rakannya, Gerakan agar menyerahkan kesemua kerusi yang mereka bertanding kepada MCA dan MIC jika merasakan sudah tidak yakin dan telah berputus asa dalam usaha merampas kembali negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum ke-13.

Sambil menegaskan pemimpin politik tidak wajar dan tidak sepatutnya berputus asa dalam perjuangan, Timbalan Pengerusi BN Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Gerakan perlu memaklumkan komponen perikatan BN dengan “segera” jika merasakan sudah tidak mampu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Gerakan tidak patut dan tidak seharusnya berputus asa dalam meneruskan usaha menawan balik negeri Pulau Pinang, kita perlu bekerja keras... dan sekiranya tidak boleh, beritahu dengan cepat supaya mereka (MCA dan MIC) boleh mengambil alih peranan (bertanding di kawasan Gerakan),” kata Zainal yang juga Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Gerakan perlu menyerahkan kepada MCA dan MIC bertanding di kerusi-kerusi mereka bertanding dua tahun lalu jika sudah tidak yakin lagi,” tegas beliau ketika dihubungi.

Sehubungan itu tegas beliau, usaha perlu dipertingkatkan untuk menawan kembali sokongan rakyat Pulau Pinang untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bagi Umno, kami akan bekerja kuat untuk menang dalam pilihan raya... kami menang di 11 kawasan pada 2008 dan yakin boleh menang dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Umno bertanding di lima kerusi Parlimen tetapi hanya menang di dua bahagian.

Zainal yakin boleh menang di lagi kerusi.

Beliau mengulas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan kelmarin yang mengakui DAP masih boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PR satu lagi penggal dengan memenangi pilihan raya umum ke-13, tetapi meramalkan BN berpeluang lebih baik untuk menawan semula selepas itu.

Pada pilihan raya umum lalu daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Umno bertanding di 15 kerusi dan menang di 11 kawasan. Gerakan bertanding di 12 kerusi dan kalah teruk.

Baki kerusi ditanding oleh MCA dan MIC.

Teng juga meramalkan yang kerajaan negeri pimpinan PR tidak akan kekal berkuasa untuk tempoh yang lama.

Kata Teng, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang popular tidak akan mampu untuk menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum ke-14 ekoran pendekatan dan caranya menguruskan Pulau Pinang.

“Dengan cara beliau mengendalikan kerajaan, beliau akan dilantik sebagai ketua menteri dalam pilihan raya umum akan datang tetapi bukannya dalam pilihan raya umum yang seterusnya,” kata Teng kepada The Malaysian Insider.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013 tetapi sudah ada spekulasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum tergempar bagi peringkat Parlimen manakala kerajaan negeri dijangka mengadakannya pada waktu yang berbeza.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, Gerakan dianggap sebagai parti yang tidak lagi relevan di negara ini. Gerakan diberi kepercayaan untuk memegang jawatan ketua menteri sejak 1969.

Parti itu berhadapan dengan kekalahan teruk selain hanya mampu mempertahankan dua kerusi di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, kenyataan Teng itu bukan pendirian rasmi BN atau Umno kerana tiada perbincangan diadakan berhubung soal itu sebelum ini.

BN Pulau Pinang dipengerusikan oleh Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon yang merupakan bekas ketua menteri negeri dan tewas dalam pilihan raya umum lalu.

“Umno tidak diajak berbincang untuk mengambil pendirian seperti ini... jadi kami menganggap ini bukan pendirian rasmi BN dan juga bukan pendirian Umno,” katanya.

“Dasar perjuangan kami ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pengundi dan mempertingkatkan usaha untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang,” kata beliau sambil menekankan, parti-parti komponen BN tidak wajar berputus asa kerana masih ada masa untuk mengatur strategi.

“Dalam politik, masa satu minggu sebenarnya satu tempoh yang lama... apa pun boleh berlaku, sedangkan kita belum tentu tahu bila pilihan raya umum akan diadakan, mungkin sebulan, mungkin setahun. Jadi kita (parti-parti politik) perlu menggunakan masa yang ada untuk meningkatkan usaha menggandakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” kata beliau lagi.

Sambil mengakui memang ada beberapa kesilapan masa lalu, Zainal menambah, BN sudah memperbaikinya dan rakyat pun tahu “kita sudah berubah”.

“Kita (BN) hendak memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai. Jadi kita perlu memperkukuhkan parti kita, jentera parti kita untuk mengekalkan tahap sokongan rakyat, perpaduan dan solidariti ahli-ahli parti,” kata beliau dan menambah:

“Dikalahkan (dalam pilihan raya lazimnya adalah satu situasi sementara tetapi tindakan berputus asas, akan menjadikan kita kekal buat selama-lamanya.”

Tiada ulasan: