Ahad, 19 September 2010

Umno dan Perkasa perjuang hak orang Melayu atas landasan berbeza

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Walaupun Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memperjuangkan hak orang Melayu namun kedua-duanya berada di atas landasan berbeza, kata Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Mohamed Aziz.

Beliau berkata Umno berjuang sebagai sebuah parti politik sementara Perkasa sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Namun begitu, beliau berkata perjuangan Umno adalah lebih luas kerana ia bukan sahaja melibatkan orang Melayu tetapi semua penduduk di negara ini.

“(Oleh itu), tidak ada apa yang bercanggah dari segi matlamat. Dia (Perkasa) dengan perjuangan dia, (sementara) perjuangan Umno jelas tidak ketepikan kepentingan kaum lain.

“Ini uniknya Umno. Inilah yang jadikan Malaysia sebuah negara majmuk tapi bersatu padu, “ kata Mohamed yang juga Anggota Parlimen Seri Gading kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Parlimen di sini hari ini.

“Begitu juga dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu yang memperjuangkan hak kaum masing-masing. Kita tidak komen apa-apa. Itu hak dialah. Macam MCA, MIC, Gerakan, PPP (Parti Progresif Penduduk), komponen Barisan Nasional, dia pentingkan kaum dia tetapi tetap menyedari kepentingan kaum lain harus dilayan,” katanya.

Katanya, Perkasa tetap diberi layanan serupa dengan layanan yang diberikan kepada NGO lain, dan tidak timbul isu Umno menjauhkan diri daripada Perkasa.

“Tidak perlu berasingan. (contohnya hubungan) Umno dengan pengakap, Umno dengan pandu puteri, Umno dengan St John Ambulans, Persatuan Palang Merah. Masing-masing ada tugas, ada matlamat dan masing-masing cari kebaikan,” katanya.

Mohamed berkata sekiranya ada pemimpin Umno yang berpendapat parti itu harus menjauhkan diri daripada Perkasa, ia mungkin merupakan pendapat peribadi pemimpin tersebut dan bukan mencerminkan pendapat parti.

Tiada ulasan: