Jumaat, 17 September 2010

Umno 'Benci' Tapi Sayang Kepada Perkasa

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Umno berpura-pura memisahkan dirinya daripada dikaitkan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) walhal pada hakikatnya parti itu menyokong wadah perjuangan badan ekstremis Melayu itu malah mengharapkan ia bertindak bagi pihak Umno.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata hubungan Perkasa-Umno itu sengaja direkacipta untuk mengaburi mata rakyat khususnya di kalangan pengundi Cina dan India.

"Pemimpin Umno tidak menyatakan pendirian tegas mereka berhubung tindakan dan kenyataan Perkasa yang dilihat begitu ekstrem dan berbaur perkauman.

"Umno pada masa yang sama telah memberi restu kepada pertubuhan itu dengan meluluskan permit akhbar Suara Perkasa yang lantang memainkan isu perkauman tidak pula dipersoalkan," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Shamsul berkata beliau percaya 'kebencian' Umno terhadap Perkasa hanyalah satu lakonan wayang kulit untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka tidak rasis tetapi secara senyap-senyap menggunakan pertubuhan itu untuk menekan pengundi bukan Melayu.

"Perkasa dan Umno hanya ingin meneruskan agenda perkauman, pada yang sama cuba menarik sokongan pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina dan India," kata Shamsul.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan Perkasa tidak lebih daripada 'ayam tambatan' Umno-BN untuk kepentingan politik mereka.

Popularitinya juga menyebabkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengugut untuk keluar parti sekiranya Umno terus menyokong Perkasa.

"Saya bimbang Perkasa akan memainkan pula isu agama, dan saya tidak terkejut jika Perkasa selepas ini akan membuat kacau dalam PAS malah sekarang ini ada sekumpulan kecil mereka yang berkopiah dan turun ke surau dan ke masjid di kawasan pedalaman untuk merencanakan agenda kotor mereka," jelas beliau.

Tiada ulasan: