Isnin, 27 September 2010

Tindakan Lembaga Tatatertib

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Kuasa di tangan JPA untuk menghukum pengetua

KUALA LUMPUR: Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saja berhak menentukan dan mengambil tindakan tatatertib terhadap pengetua serta guru didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata perkara itu termaktub dalam prosedur tindakan tatatertib dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Lembaga Tatatertib yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan dianggotai beberapa pegawai kanan kerajaan akan mengkaji laporan disediakan Kementerian Pelajaran mengenai kedua-dua kejadian itu.

“Kedua-dua pegawai dalam isu ini di bawah bidang kuasa JPA, maka kita akan menentukan tindakan sesuai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abu Bakar berkata, semua kes salah laku membabitkan pegawai kerajaan berjawatan tetap gred DG48 dan ke atas akan ditentukan Lembaga Tatatertib JPA, manakala DG44 ke bawah oleh kementerian masing-masing.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua dan guru yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan menegaskan, berdasarkan peruntukan undang-undang dan perlembagaan, kuasa itu terletak di bawah kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN) kerana kedudukan individu terbabit adalah pegawai kerajaan berjawatan tetap gred DG48.

Muhyiddin mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa Menteri Pelajaran enggan menggunakan kuasanya mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulai Jaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tidak boleh mengambil tindakan) memang tepat dan betul. Keputusan mengambil dan mengenakan tindakan bukan diputuskan pada tangan seorang,” kata Abu Bakar.

Menjelaskan prosedur tindakan tatatertib terhadap kakitangan awam, Abu Bakar berkata, pada permulaan satu Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan untuk menyiasat laporan salah laku pegawai kerajaan bagi mencari bukti.

“Jika ada bukti untuk mensabitkan kesalahan dilakukan pegawai terbabit, hasil siasatan akan dikemukakan kepada JPA bagi membuat laporan mengenai salah laku pegawai terbabit.

“Selepas itu, JPA akan membentangkan laporan berkenaan kepada Lembaga Tatatertib yang mempunyai kuasa menentukan sama ada berlaku salah laku seperti dituduh atau sebaliknya,” katanya.

Jika didapati ada kes, Lembaga Tatatertib akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan meminta pegawai terbabit menjawabnya bagi membela diri dengan mengemukakan representasi dalam tempoh 21 hari.

Representasi itu kemudian akan dinilai Lembaga Tatatertib bagi menentukan sama ada penjelasan yang dituduh diterima atau ditolak. Jika jawapan dikemukakan itu munasabah, kesnya akan ditolak.

“Jika penjelasannya ditolak, barulah Lembaga Tatatertib akan menentukan tindakan yang dikenakan terhadap pegawai terbabit,” katanya sambil mengesahkan sudah menerima laporan kes guru besar itu sebelum Aidilfitri.

Abu Bakar bagaimanapun berkata, Lembaga Tatatertib juga akan mengambil kira rekod dan prestasi pegawai terbabit sebelum menjatuhkan hukuman.

“Kita perlu bersikap adil dalam menjatuhkan hukuman, terutama jika pegawai itu mempunyai rekod yang baik dan pengalaman berkhidmat dengan kerajaan lebih 20 tahun,” katanya.

Tiada ulasan: