Khamis, 2 September 2010

Tiga digantung keahlian UMNO

BERITA HARIAN ONLINE

Didapati bersubahat heret hal parti ke mahkamah

KOTA BHARU: Tiga pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Tanah Merah yang didapati bersubahat dan mengheret hal parti ke mahkamah, digantung hak keahlian masing-masing selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan.

Mereka ialah bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan; bekas Pemangku Ketua UMNO bahagian itu, Nik Kemaruzaman Sulong dan ahli UMNO Cawangan Padang Kijang, Bahari Mohd Noor.

Setiausaha UMNO Bahagian Tanah Merah, Ahmad Ismail, berkata keputusan tindakan tatatertib terhadap tiga ahli terbabit disampai oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menerusi sepucuk surat, Isnin lalu.

“Kami dimaklumkan Setiausaha Agung, Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Ogos lalu, bersetuju keputusan Lembaga Disiplin mengenakan tindakan menggantung hak keahlian mereka,” katanya.

“Mereka didapati bersalah melanggar tata etika ahli dan Perlembagaan UMNO kerana bersubahat dan terbabit mengheret hal parti ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ahmad berkata, hukuman terhadap Shaari berkuatkuasa mulai 10 Ogos, manakala Nik Kemaruzaman dan Bahari dikenakan tindakan sama mulai 12 Ogos.

Katanya, berikutan hukuman yang dikenakan, Nik Kemaruzaman dan Bahari kini hilang hak untuk memilih, dipilih atau dilantik bagi sebarang jawatan dalam parti, manakala Shaari dilarang bertanding mana-mana jawatan dalam parti atau dipilih sebagai calon pilihan raya.

Beliau berkata, keputusan Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi terhadap ketiga-tiga mereka seharusnya menjadi pengajaran kepada ahli UMNO yang lain agar menggunakan saluran parti dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

Tiada ulasan: