Ahad, 12 September 2010

Tajudin dicabar tuntut suruhanjaya siasatan

MALAYSIA TODAY

Bekas pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli sepatutnya menuntut supaya diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas punca pertikaiannya dengan syarikat penerbangan itu jika beliau benar-benar serius mahu membersihkan namanya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya cadangkan supaya Tajuddin tarik balik saman malunya itu. Kalau beliau benar-benar serius mahu membersihkan namanya, beliau hendak meminta supaya diadakan Suruhanja Siasatan Diraja ke atas semua laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat oleh pengurusan MAS yang ada kaitan dengannya," kata beliau sambil membangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad berani mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanja Siasatan berikutan pelbagai pendedahan terhadapnya yang terkandung di dalam buku "The Malaysian Maverick".

Salahuddin berkata, kalau Dr Mahathir yang sudah berumur lebih 80 tahun berani meminta suruhanjaya tersebut, mengapa pula Tajuddin yang lebih muda tidak berani?

"Apa kekuatan, kelebihan dan kekebalan yang ada pada Dr Mahathir sehingga beliau berani mencabar supaya ditubuhkan suruhanjaya menyiasat tuduhan ke atasnya dan jika Tajuddin tidak berani mendesak penubuhan suruhanjaya diraja, adakah beliau sudah tidak kebal lagi?

"Tidak mungkin Tajuddin hilang kekebalannya. Bukankah beliau terus bebas daripada pendakwaan akibat apa yang dilaporkan sebagai kerugian kira-kira RM8 bilion yang dialami oleh MAS?" kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin bagaimanapun yakin Tajuddin tidak akan meminta suruhanjaya siasatan seperti suruhanjaya memnyiasat video V K Lingam.

"Saya percaya Tajuddin bersungguh-sungguh mahu membersihkan dirinya dan beliau juga tidak mahu suruhanjaya seperti suruhanjaya dalam kes Lingam yang menghakis kepercayaan rakyat di mana tidak ada sebarang tindakan susulan walaupun banyak kesalahan didedahkan tetapi tidak ada siapa pun yang didakwa," katanya.

Tajuddin mengemukana saman malu terhadap MAS sebagai tindakan balas terhadap saman yang dikemukakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu ke atasnya.

Beliau juga mendakwa laporan MAS kepada SPRM ke atasnya adalah bersifat fitnah.

Tiada ulasan: