Isnin, 13 September 2010

Suspek kes Sosilawati bongkar lagi kejadian culik-bunuh

TERKINI


Seorang suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ketika dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil hari ini.

BANTING — Police turut menyiasat beberapa kes culik dan bunuh berdasarkan keterangan yang diberikan oleh suspek-suspek kes Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang didapati dibunuh dan dibakar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin berkata, empat suspek pertama yang ditahan Jumaat lalu mendedahkan mereka terlibat dalam kes yang sama tahun lalu.

“Kami sedang menyiasat keterangan mereka,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.

Tiga lagi orang ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Laporan akhbar hujung minggu lalu mendakwa kehilangan Sosilawati Lawiya bersama tiga individu terbabit dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit yang dikatakan mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan, dipercayai berperanan sebagai broker dalam urus niaga tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang itu.

Ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang.

Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

Pagi tadi, pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat sini bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan empat mangsa terbabit.

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Tiada ulasan: