Rabu, 15 September 2010

Suspek bunuh: Polis perlu jelas kepada rakyat

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Polis bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sejauh manakah siasatan dan tindakan pencegahan yang dibuat apabila suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dilaporkan mungkin terlibat dalam pembunuhan sehingga sembilan mangsa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun diumumkan Isnin lalu bahawa Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tercapai kerana kadar jenayah turun, rakyat yang semakin gelisah dengan pelbagai jenayah berat yang terus berlaku berhak mendapat tahu sejauh manakah tindakan polis menyiasat kehilangan beberapa orang yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan Sosilawati dan pembantu-pembantunya itu.

"Apakah tindakan pencegahan yang dilakukan dan berapa laporan polis yang diterima yang ada kaitan dengan suspek itu?" kata beliau.

Menurut beliau, polis dilaporkan telah mengakui bahawa mereka pernah menerima aduan mengenai kehilangan sebelum ini termasuk laporan mengenai kehilangan seorang warga India.

"Oleh itu saya hendak bertanya apa tindakan polis ke atas aduan-aduan ini? Apakah hasil siasatan ke atas aduan-aduan itu?" kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menekankan bahawa perkara tersebut penting dijelaskan kerana akhbar The Star melaporkan mungkin sembilan orang dibunuh dan dihapuskan dengan cara yang sama, Utusan Malaysia pula melaporkan sekurang-kurangnya empat kes pembunuhan sebelum ini dipercayai dapat diselesaikan dengan berikutan pengakuan suspek-suspek dalam kes pembunuhan Sosilawati bahawa mereka pernah terlibat dalam kes-kes terdahulu manakala Kosmo! pula melaporkan bahawa "ahli perniagaan terbabit mahir 'menghilangkan' pelanggannya".

"Yang lebih membimbangkan ialah apabila Kosmo! juga melaporkan bahawa 'maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan'.

"Laporan-laporan tersebut dibuat oleh akhbar-akhbar pro-kerajaan Barisan Nasional (BN). Sebab itulah pihaik polis bertanggungjawab mententeramkan kebimbangan orang ramai dengan menjelaskan sejauh mana siasatan dan tindakan pencegahan yang dibuat terhadap apa yang dilaporkan sebagai 'sekurang-kurangnya empat kes pembunuhan sebelum ini'.

"Kita tidak mahu lagi membaca laporan ada penjenayah yang 'terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan' selepas ini," tegas beliau.

Mahfuz percaya, jika polis telah menyelesaikan empat aduan sebelum ini, mungkin tidak berlaku pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Beliau mempersoalkan, adakah suspek utama ini kemungkinan tidak dapat ditangkap sekiranya tragedi terbaru tersebut tidak berlaku.

“Nampaknya suspek ini hanya dapat ditangkap selepas Sosilawati dan tiga lagi mangsa sudah menjadi abu,” kata beliau lagi.

24 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Perkara ini perlu disiasat dan penjelasan lanjut diberikan.

azman berkata...

biarlah polis melakukan tugas mereka. diharap kes ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Hamdan Hadillah berkata...

Perkara ini tidak perlulah tergesa-gesa untuk diberikan penjelasan, biarkan perkara ini diselesaikan dahulu oleh pihak berkuasa.

Unknown berkata...

Pastikan polis tidak membiarkan penjenayah terlepas begitu sahaja daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan. Laksanakan tugas dengan adil!

Unknown berkata...

Apapun, saya berharap kes ini akan diselesaikan secepat mungkin.

Sanih Alias berkata...

Biarkanlah polis menyiasat terlebih dahulu kebenaran, baru memberitahu kepada rakyat. Kerana takut bila dihebohkan tanpa selesai kes 100% takut mengundang khabar angin.

Unknown berkata...

Memang masuk akal, jika ada 9 orang didapati telah mati dibunuh, kenapa pula hanya selepas 4 orang terakhir mati barulah suspek ditangkap?

Diharap pihak polis dan media akhbar akan memberikan penjelasan yang telus tanpa sebarang manipulasi maklumat.

mandau berkata...

tunggu hingga kes ini selesai. selagi tk selesai, bagaimana nak dedahkan keputusan kes ini.

Tanpa Nama berkata...

buat masa ini semua NGO dan ahli2 politik tidak perlu masuk campur. jangan ganggu polis yang sedang giat melaksanakan tugas.

Antanum berkata...

Kalau saya tidak silap ada terbaca tentang orang india yang datang ke Malaysia menerima nasib yang sama kurang dari masa setahun. Dan isteri beliau yang membawa polis untuk pergi ke ladang tersebut kerana suami beliau pernah memberitahu isterinya untuk pergi ke ladang tersenut. Tidak tahu sejauh mana kebenarannya tapi kita hanya boleh berharap agar keadilan dapat di perolehi.

Unknown berkata...

saya hairanlah, kenapa kegiatan haram penjenayah di Kanchong Laut, Banting tu tidak dapat dikesan oleh polis? Sudah berapa lama kubu penjenayah itu bertapak di sana? kenapa selama ini jenayah yang dilakukan oleh mereka tidak dapat dihidu oleh polis?

Unknown berkata...

PDRM seharusnya berupaya menghidup setiap pergerakan penjenayah lebih awal tetapi mereka tidak punya kelebihan tersebut!

mike berkata...

polis Malaysia harus dipuji kerana dapat menangkap suspek pembunuhan Datuk Sosilawati dan lain dalam masa yang singkat..ini menunjukkan polis menjalankan tugas mereka dengan cekap dan profesional..

mike berkata...

biarkan polis melakukan tugas mereka..tidak perlu ada campur tangan dari mana2 pihak terutama ahli2 politik..polis tahu apa yang perlu dilakukans..

mike berkata...

pihak pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan isu ini dengan mempersoalkan kewibawaan pihak polis menjalankan tugas mereka sehingga menganggu penyiasatan polis terhadap mana2 kes terutamanya kes pembunuhan Datuk Sosilawati..

joey berkata...

biarlah polis melakukan apa yang patut. tidak perlulah tergesa-gesa meminta polis membuat sebarang penjelasan.

Paquin berkata...

Harap hal ni dapat diselesaikan dengan baik.

Paquin berkata...

Semoga pembunuh tu dapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya.

kb girl berkata...

Polis sentiasa membuat ulasan terkini berkenaan kes pembunuhan ini. Cuba ikuti berita dalam tv.

Unknown berkata...

Setelah selesai penyisatan berkenaan kes ini, polis pasti membuat penjelasan kepada rakyat berkenaan kes ini.

Unknown berkata...

Mungkin penjelasan akan dibuat selepas selesai penyiasatan supaya tidak menjejas proses penyiasatan yang sedang dijalankan sekarang.

Unknown berkata...

Kita tunggu polis selesai siasatan kes ini. Kebenaran pasti menimbul.

captain berkata...

Jangan ganggu siasatan polis buat peringkat ini. Biar mereka selesai kumpul bahan bukti, sampai masa nanti, polis pasti memberi penjelasan.

Unknown berkata...

Sabar kalian, selesai siasatan, kita akan diberi penjelasan.