Rabu, 1 September 2010

Sultan Selangor gantung gelaran Liong Sik dan OC Phang

BERITA HARIAN ONLINE

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menggantung gelaran "Datuk" yang dikurniakan kepada Tun Dr Ling Liong Sik dan "Datin Paduka" kepada OC Phang.

Menurut kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini, Sultan Salahuddin berkenaan membuat keputusan itu selepas berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang kali ke-127 pada 19 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan bahawa kesalahan yang dipertuduhkan ke atas mereka berdua adalah kesalahan serius yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

"Yang Amat Berbahagia Tun Dr Ling Liong Sik, bekas Menteri Pengangkutan Malaysia yang telah dikurniakan keahlian darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) bergelar Dato’ pada 1992 telah didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya.

"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran DPMS adalah digantung. Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan YA Bhg Tun tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan.

"Puan Phang Oi Chooi @ Phang Ai Tu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang yang telah dikurniakan keahlian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka pada 2001 telah didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang.

"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran DSSA adalah digantung. Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan," menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: