Khamis, 23 September 2010

SPR: Jangan anggap langkah alih lokaliti dipengaruhi agenda politik


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pihaknya tiada sebarang agenda khusus untuk menganiaya mana-mana parti politik dengan melaksanakan urusan pembetulan lokaliti mengundi, yang turut menyebabkan pemindahan keluar pengundi dari kawasan-kawasan terbabit.

Andaian bahawa urusan itu mempunyai motif politik untuk membantu parti-parti politik tertentu dan melemahkan parti lawan adalah tidak benar sama sekali, kata Pengerusi Jawatankuasa Panel Pendaftaran dan Penyediaan Daftar Pemilih SPR, Datuk Zainal Abidin Mat Said.

Malah menurut beliau, urusan pembetulan ini yang sudah lama dilakukan, malah pernah diambil ekoran permintaan parti-parti politik sendiri masa-masa lalu.

“Pada masa-masa lalu, mereka (parti-parti politik) sendiri yang memaklumkan bahawa sesuatu lokaliti mengundi diletakkan di bahagian pilihan raya yang tidak betul.

“Jadi apabila menerima aduan dan makluman yang sedemikian, kami mengambil tindakan untuk membetulkan lokaliti... jadi ia bukan sesuatu yang baru, sudah lama dijalankan,” katanya.

“Tapi kini parti-parti politik pula mengadu... kami cuma membetulkan keadaan jika ada kesilapan,” katanya.

The Malaysian Insider dalam laporan pagi tadi memetik Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan yang menyifatkan langkah SPR melaksanakan pembetulan lokaliti mengundi dan disusuli dengan pemindahan pengundi terbabit sebagai proses yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ambiga berpendapat bahawa walaupun SPR mengesan kewujudan kesilapan dalam sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen, ia tidak harus mengganggu sempadan sedia ada.

“Walaupun SPR mengesan ada kesilapan lokaliti mengundi, SPR tidak boleh melakukan pembetulan sehingga urusan persempadanan baru dilakukan iaitu dalam keadaan semasa (dijangka) akan dijalankan selepas Mac 2011,” kata Ambiga.

Ambiga berkata jika proses itu dilaksanakan, ia boleh dianggap sebagai satu urusan persempadanan ‘kecil’ antara proses persempadanan terdahulu dan yang akan datang.

Beliau dikemukakan persoalan mengenai proses ini ekoran dakwaan beberapa pihak dalam blog dab ruangan Twitter baru-baru ini bahawa tindakan SPR itu tidak sah kerana seolah-olah SPR mengadakan urusan persempadanan ‘mini’.

Perkara itu turut diakui oleh Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran yang menyifatkannya sebagai “urusan persempadanan semula kecil”, yang tidak sewajarnya dilakukan.

Dalam kes terbaru, SPR membuat pembetulan lokaliti mengundi Lapangan Terbang di kawasan Parlimen Bukit Bintang ke bahagian Parlimen Cheras membabitkan kira-kira 150 pengundi.

Kedua-dua bahagian itu terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya DAP Tan Kok Wai berkata, SPR memaklumkan pihaknya bahawa pembetulan lokaliti mengundi Lapangan Terbang di kawasan Parlimen Bukit Bintang dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya dan Ahli Parlimen Bukit Bintang (Fong Kui Lun juga dari DAP) tidak kisah proses ini dilakukan kerana kami menganggap ia dilakukan dengan alasan yang tulen ekoran perbezaan alamat tempat tinggal bagi penduduk yang tinggal di PPRT Lapangan Terbang,” katanya.

“Keputusan ini kami terima. Tetapi apa yang kami hendak menekankan di sini ialah SPR sewajarnya melakukan dengan terbuka dan telus... memberikan peluang kepada pengundi berkenaan membantah atau sebaliknya apabila mereka dipindahkan,” katanya.

Sehubungan itu menurut Zainal, kini SPR mengambil tindakan sendiri mengesan kedudukan lokaliti mengikut persempadanan yang dibuat oleh agensi ukur negara menggunakan EGIS (sistem maklumat geografi elektronik) dan melakukan pembetulan jika wujud kesilapan penetepan lokaliti mengundi.

“Tidak, tidak. Itu tidak benar. Urusan ini membabitkan kawasan yang melibatkan wakil rakyat BN dan juga bukan BN.... jadi tanggapan seperti ini tidak benar,” kata beliau menjawab dakwaan sesetengah wakil rakyat yang kawasan mereka terlibat dalam urusan ini.

“Ya, ia sama-sama melibat semua pihak. Bukan bertujuan menyebelahi mana-man pihak,” katanya.

Menurut beliau, sebenarnya urusan pembetulan lokaliti telah dilakukan sebelum urusan persempadanan pilihan raya yang kali terakhir dilakukan pada 2002.

“Sebelum 2004, kita menjalankan secara manual, kemudian (sejak 2004), kami menggunakan EGIS untuk mengesan kedudukan setiap bahagian (pilihan raya), lebih baik digunakan EGIS sebab ia lebih tepat,” kata beliau lagi.

“EGIS digunakan untuk membuat pembetulan... kami bukan sengaja lakukan, tetapi dilakukan kerana ketidakyakinan pada sempadan itu,” kata beliau urusan membabitkan kawasan Kampung Tanjung di Hulu Selangor, yang menjadi isu April lalu, dilakukan tanpa memaklumkan pihak-pihak terbabit.

Bagaimanapun katanya, SPR sudah mengambil langkah untuk membuat pemakluman rasmi.

SPR mengakui menghadapi masalah kerana ada pengundi yang tidak dapat dikesan.

Mengenai jumlah bahagian pilihan raya yang terlibat dalam urusan ini, Zainal berkata, pihaknya tidak dapat memastikan jumlah kerusi kerana urusan ini masih dijalankan.

“Belum pasti, tapi proses ini hampir habis,” kata beliau yang turut menyedari parti-parti politik terkejut semasa pilihan raya kecil diadakan sebagaimana disaksikan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Tiada ulasan: