Sabtu, 4 September 2010

Skim Mikrokredit bantu rakyat miskin berniaga

Khaulah Azwar

SABAK BERNAM: Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisatif untuk membantu rakyat daripada terus dibelenggu kemiskinan sehingga menerima berbagai ugutan oleh anasir along akibat berhutang.

Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL) yang telah dilancarkan kelmarin di Masjid Makrufiah Parit Baru Sabak Bernam, yang telah dirasmikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar dengan tujuan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Bagi Khalid, pelancaran skim itu menjadi satu lagi mercu tanda komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan miskin secara terus.

Antara lain skim itu bertujuan untuk membantu golongan miskin memperolehi dana bagi menjalankan perniagaan sebagai salah satu usaha membebaskan mereka dari kitaran kemiskinan.

Adalah jelas dengan perkembangan keadaan ekonomi semasa, rakyat perlu disediakan dengan satu alternatif untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan cara yang sangat tidak membebankan.

Penyedia hutang pada masa kini tumbuh bagaikan cendawan subur, tetapi nyata sebahagiannya hanya menambahkan beban mereka yang terlibat kerana cara ini tidak membantu untuk meningkatkan taraf mutu kehidupan.

Kerajaan negeri berhasrat dengan wujudnya kkim ini, kekangan-kekangan ekonomi dapat dicantas bagi membangun sebuah negeri yang makmur ekonominya dan kemakmuran itu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Ali berkata Yayasan Dar Al-Qard Al-Hasan Selangor akan memastikan amanah yang diberikan kepadanya oleh kerajaan negeri akan dijaga dengan sebaik-baiknya.

Katanya, seluruh tenaga pengendalian telah berikrar pada saban masa dan ketika menjalankan skim itu dengan penuh amanah, bertanggungjawab, dedikasi dan mengambilnya sebagai satu amalan jihad.

"Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk tujuan membiayai skim ini. RM50 juta untuk masyarakat luar bandar dan RM20 juta untuk masyarakat bandar," ujarnya.

Di peringkat awal, skim itu akan beroperasi di kawasan Sabak Bernam manakala menjelang akhir 2010, ia akan diperluas ke Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Bagi masyarakat bandar, jadual perlaksanaan skim yang sama sedang disiapkan oleh pasukan pengendali yang diterajui oleh Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail.

Dalam majlis pelancaran tersebut, seramai 50 penerima pinjaman menerima pembiayaan daripada Menteri Besar di mana setiap penerima menerima pembiayaan modal perniagaan sebanyak RM3,000 dengan tempoh bayaran maksimum selama 12 bulan.

Skim itu tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak akan diheret ke mahkamah.

Pengalaman mengendalikan skim yang serupa mendapati bahawa kesepakatan kumpulan-kumpulan kecil yang dimestikan bermesyuarat setiap minggu telah menyaksikan pembayaran balik mencecah seratus peratus.

Tiada ulasan: