Rabu, 22 September 2010

Sidang Khas DUN Kelantan Ditunda 30 September

BERNAMA

KOTA BHARU: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang pada mulanya dijadualkan pada Isnin depan ditunda kepada 30 September ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub berkata penundaan tarikh itu sebagai perkara biasa dan ia hanya masalah teknikal.

Persidangan khas itu adalah khusus untuk meminda Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan elaun kepada bekas Sultan dan Raja Perempuan serta kerabat diraja Kelantan.

Katanya, semua surat rasmi sudahpun dihantar kepada semua anggota dewan, termasuk enam anggota pembangkang Barisan Nasional (BN).

DUN Kelantan kini mempunyai 45 kerusi, termasuk 38 PAS, enam BN dan satu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pindaan rang undang-undang itu perlu berikutan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, menggantikan ayahanda baginda berkuatkuasa 13 September lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata Kelantan tetap tidak membenarkan peserta permainan tomoi mengamalkan kaedah yang bercanggah dengan agama Islam, walaupun ia melibatkan bukan Islam.

Beliau berkata penggunaan tangkal dan persembahan yang membawa unsur-unsur syirik yang bercanggah dengan Islam tidak dibenarkan dalam pertandingan itu walaupun pesertanya melibatkan bukan Islam. "Peraturan yang dikuatkuasakan itu lebih kepada usaha mendidik rakyat Kelantan, khasnya peserta sukan lasak itu untuk disesuaikan dengan kehendak Kerajaan Negeri yang berlandaskan ajaran Islam, secara beransur-ansur," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai syarat baru terhadap sukan tomoi itu yang didakwa oleh beberapa pihak bahawa langkah tersebut akan menjejaskan perkembangan sukan itu. Katanya, menerusi peraturan baru dalam sukan itu, kerajaan negeri mencadangkan peserta memakai seluar pendek dari aras pinggang ke bawah lutut bagi mengelakkan ia menampakkan anggota aurat lelaki.

"Kita juga menyediakan pakaian itu kepada Persatuan berkenaan untuk digunakan peserta tomoi dan menggalakkan mereka memakai baju nipis seperti singlet sebagaimana dipakai oleh pesilat tradisional untuk memberi keselesaan kepada peserta," katanya.

Tiada ulasan: