Selasa, 7 September 2010

Si Cicak Dan Harimau Tua

Oleh Mohd Sayuti Omar

KATA orang kalau harimau sudah tua dan sakit gigi, maka cicak mengkarung pun berani mendekatinya. Tetapi sewaktu ia kuat dan hebat, usahkan hendak mendekatinya mendengar namanya saja sudah kecut perut. Itu bukan gaumannya lagi, kalau mendengar ngaumannya saja orang sudah terberak dan terus demam.

Begitulah apa yang berlaku ke atas kerajaan UBN yang ditulangi Umno dalam menghadapi kes pemuda Cina bernama Wee Meng Chee (Namewee) yang dikatakan menerbit lagu yang berunsur perkauman dan mengecam kaum Melayu. Umno tidak ubah sang belang yang malang itu dan Namewee adalah hanya seekor cicak saja.

Kenapa saya kata begitu, kerana walaupun berbagai pihak mendesak supaya diambil tindakan terhadap pemuda Cina itu tetapi nampaknya kerajaan UBN berat untuk berbuat demikian. Kali ini kerajaan UBN berfikir panjang sebelum bertindak, tidak seperti biasa, cepat dan rakus kadang-kadang tanpa usul periksa sehingga menimbulkan implikasi buruk.

Sehingga kini belum ada apa-apa tindakan dikenakan ke atas pemuda ini. Berbagai pihak termasuk pahlawan Melayu juga sudah membuat desakan. Mereka semua semacam nak marah dengan sikap panjang akal kerajaan kali ini.

Pihak polis memberi tahu siasatan sudah dibuat dan kertas siasatan akan diserahkan kepada peguam negara.

Itu, Riza Marican Naina Marican mempertikaikan kelewatan kerajaan bertindak ke atas pemuda Cina ini. Beliau lantas mempertikaikan kenapa dalam kes-kes lain disegerakan tetapi kes pemuda Cina ini lembab. Keadaan ini menghairankan beliau.

Pahlawan muda Umno Temerloh pula mendesak supaya pemuda Cina ini ditahan di bawah ISA. (Ini sudah melampau!).

Ketuanya Megat Asri Abdul Jalil meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas memandangkan kesalahan dibuat pemuda Cina itu berulang dan boleh mencetuskan api perkauman.

Memang dalam kes Namewee ini seakan ada berat sebelah oleh kerajaan. Beberapa individu yang melakukan kesalahan hampir sama, cepat dibawah ke mahkamah. Ada dua tiga budak Melayu yang melakukan tindakan bersalahan dengan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media kerana dikatakan menghina raja terus diseret ke mahkamah.

Bukan payah unttuk mengetahui kenapa kerajaan UBN berfikir panjang untuk bertindak kali ini. Semua ini ialah kerana sejarah lalu. Kejadian-kejadian lalu yang membabitkan orang Cina telah mengajar kerajaan UBN untuk berfikir panjang. Umno hanya berani dengan Melayu tetapi pengecut dengan orang Cina kerana terlalu ingin mengambil hati.

Misalnya apa yang menimpa Teoh Beng Hock sangat ditakuti oleh kerajaan UBN. Hingga kini kes kematian Beng Hock di ibu pejabat SPR Selangor belum selesai. Tengoklah mayatnya walaupun sudah dikebumikan tetapi digali balik. Kematian itu telah menjadi kontroversi dan menghiris hati orang Cina. Tragedi itu juga bukan saja hebuh di dalam 'ini negeri', tetapi di luar sana juga.

Jadi UBN tidak mahu penahanan atau tindakan tidak berhati-hati ke atas pemuda Cina itu nanti akan menimbul masalah. Silap menahannya ia akan dijadikan modal politik. Bagi UBN implikasi dari apa yang berlaku ke atas Beng Hock itu cukup mengesankan dan mengajarnya dalam melakukan sebarang tindakan.

Persoalannya di sini apakah kerajaan UBN menjaga kepentingan Umno sehinggakan sanggup membiarkan orang yang pada mata rakyat boleh menimbulkan masalah? Kalaulah benar begitu ini menunjukkan kelemahan ketara kerajaan UBN. Beginilah kalau kerajaan terlalu memikirkan soal nasib dan masa depan parti yang menjadi kerajaan sehingga bersikap jinak dengan penjenayah. Apa yang menjadi amalan UBN selama ini nampaknya sudah mula meracun dirinya sendiri.

Keadaan inilah menjadikan pemuda Cina dari Muar Johor berkenaan tidak serik dan makin berani melakukan aksi dan tindakan yang bertentangan dengan Rukun Negara. Pemuda Cina ini sudah memikirkan bahawa beliau tidak mudah untuk diambil tindakan. Dia juga tahu kalau dia masuk penjara dan mahkamah dia dibela.

Mudahnya, pemuda Cina ini cerdik kerana pandai membaca ramalan bintang. Dia tahu kalau beliau dikenakan tindakan akan ada orang membelanya. Yang belanya bukan saja kaum sejenisnya, tetapi segelintir Melayu yang sudah lupa makan secara duduk bersela juga akan bangkit membelanya.

Sesiapa pun boleh menjadi jahat kalau sudah pasti akan di bela kelak. Dalam negara ini bukan mudah untuk menjadi hero, kamu sokong dan pertahankan satu kaum, kaum itu akan membela kamu selama-lamanya. Ertinya sikap perkauman masih bermaharajalela di negara ini. Sekali lagi 52 tahun Umno memerintah negara ia gagal untuk menghapuskan nalusi perkauman.

Jadi dalam keadaan Umno sudah jadi harimau tua ini, bukan saja perbuatan dan aksi yang membabitkan Namewee itu akan berlaku, tetapi banyak lagi. Semua yang berlaku itu bukan disengajakan tetapi cabaran untuk kerajaan UBN.

Kepada para pahlawan Melayu tidak usahlah mendesak berlebih-lebihan sangat. Insaflah bahawa Umno yang kini sudah menjadi harimau tua itu sudah tidak bermaya lagi. Mendesak kerajaan UBN bertindak ke atas kes seperti Namewee itu menjadikan Umno semakin sakit saja. Bukan begitu Mat? Mat mana? Mat Maslanlah!

Tiada ulasan: