Rabu, 15 September 2010

Shahrizat tidak mahu kes pembunuhan Sosilawati jadi isu perkauman

FREE MALAYSIA TODAY

Datuk-Seri-Shahrizat-Abdul-Jalil KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetikDatuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu tidah boleh dipolitikkan atau dianggap sebagai isu perkauman, kata ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya, kes tragis itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.

"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara.

"Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini hari ini.

Shahrizat, yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata: "Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata."

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC T. Mohan menganggap mereka yang melakukan jenayah kejam itu lebih zalim daripada binatang.

"Kami terkejut ada rakyat Malaysia yang sanggup melakukan kekejaman melampau, pembunuhan ngeri sebegini. Ini bukan budaya kita dan ini sangat mengganggu fikiran," katanya dalam satu kenyataan.

Mohan berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci dan menghadapkan para penjenayah berkenaan ke muka pengadilan dengan segera bagi memastikan keadilan kepada mangsa.

Tiada ulasan: