Sabtu, 18 September 2010

Seorang lagi lelaki ditahan bantu kes ahli perniagaan India yang hilang

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki tempatan ditahan di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini tengah malam tadi bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang ahli perniagaan warga India di Banting, Selangor tahun ini.

Tangkapan itu adalah susulan kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun di Taman Wilayah, Selayang petang semalam bagi kes yang sama.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menerusi laman social Facebooknya berkata lelaki berusia 21 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Ahli perniagaan yang dikenali sebagai A. Muthuraja itu dilaporkan hilang sejak tiba di negara ini dari Chennai, India pada 18 Jan lalu selepas dikatakan berjumpa dengan seorang peguam yang juga rakannya di Banting.

Isterinya S. Usharani membuat laporan polis di Banting pada 8 Sept lepas.

Kedua-dua lelaki yang ditangkap itu dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam terbabit yang juga merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Tiada ulasan: