Ahad, 26 September 2010

Selangor Pelopor Demokrasi Pentadbiran


TV SELANGOR

PETALING JAYA : Satu jawatankuasa khas yang akan menerajui urusan hal-ehwal Dewan Undangan Negeri akan dibentangkan di persidangan Dewan Negeri Selangor yang dijangka bersidang November depan.

Timbalan Speaker Haniza Talha berkata, usul itu jika diluluskan akan memastikan cabang Eksekutif Negeri melaksana dan menguatkuasakan segala keputusan dan dasar yang diluluskan dalam Dewan.

"Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat sebenarnya telah mengamalkan untuk mengambil pandangan daripada rakyat. Saya lihat daripada tahun lepas dan tahun ini mereka telah mengadakan dialog yang dibuka kepada kakitangan kerajaan dan juga daripada pihak Dewan Perniagaan Melayu, Dewan Perniagaan Cina dan sebagainya.

"Itu satu pendekatan yang sangat demokratik, yang mengambil kira pandangan pemain utama dalam industri. Sama ada sektor perniagaan, sektor profesional dan juga kakitangan awam.

"Orang ramai boleh memberikan pandangan melalui Majlis-majlis Perbandaran dan Pihak Berkuasa Tempatan. Jadi saya nampak ia merupakan satu pendekatan yang holistik dan saya rasa itu pendekatan yang akan diteruskan," kata Haniza.

Beliau menjelaskan demikian kepada TV Selangor pada Majlis Sambutan Hari Raya di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Taman Medan, di Taman Medan Pejasa, disini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri untuk menjalankan dasar melalui konsep pemisahan kuasa, Haniza menjelaskan selain dari pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan atau SELCAT, kerajaan Selangor turut mewujudkan pendengaran awam dan juga jawatankuasa pilihan khas lain yang berfungsi kepada perkara-perkara lebih spesifik.

Antaranya Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan juga Syarikat Berkaitan Kerajaan

"Semenjak kita menerajui kerajaan negeri Selangor, usaha ke arah memisahkan kuasa legislatif dan eksekutif telah pun dimulakan. Seawal 2008, kita telah wujudkan jawatankuasa pilihan khas.

"Juga kita telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan SELESA. Ia adalah sebuah jawatankuasa yang akan menerajui Dewan Negeri. Ia akan memastikan kuasa eksekutif itu dipantau. Bermakna segala keputusan dan dasar di dalam dewan itu akan dilaksanakan," katanya lagi.

Tiada ulasan: