Khamis, 23 September 2010

Saya Pun Malay(sian)


Oleh Eekmal Ahmad

Tahun sembilan puluh delapan, umur saya baru lapan belas tahun. Melangkah masuk Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai seorang pelajar matrikulasi jurusan undang-undang. Tahun itu juga merupakan tahun pergolakan kerana tercetusnya Reformasi.

Saya sebagai anak Kedah, satu sekolah pula dengan Mahathir pastinya memilih bersama pemimpin tua itu, namun bukan bersama Umno. Keluarga saya sungguhpun tidak pernah bersama pembangkang, sangat kritis terhadap Umno bahkan Mahathir, walau di meja makan.

Saya kira saya memilih Mahathir kerana kedua-dua kami mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid. Namun saya berubah. Dua sahabat memastikannya ia terjadi. Akhirnya saya memilih usrah dan berterusan terlibat dengan pergerakan mahasiswa aliran Islam yang condong kepada Parti Islam SeMalaysia.

Yakinlah perubahan tidak pernah mudah. Keyakinan ini kerana berteraskan pengalaman peribadi. Dari seorang yang berpaksikan kepada perjuangan Nasionalisme Melayu, untuk berubah kepada perjuangan menuntut Negara Islam, transisi itu memedihkan, bukan sahaja dari sudut hubungan luaran, akan tetapi juga kerana terpaksa berdepan dengan pergulatan peribadi.

Antara pergulatan peribadi yang menyedut tenaga dan minda saya ialah untuk “mempercayai Anwar bin Ibrahim.”

Walau sudahpun dalam unit usrah, sedang cuba mengunyah intipati pendangan Syed Qutb dan Hassan al Banna, berdepan pula dengan kebejatan pemerintah, saya masih tidak mampu untuk percaya kepada Anwar Ibrahim. Apatah lagi dengan maklumat yang sangat sedikit berkaitan perjuangan Ikhwan al Muslimoon di Mesir, mengaitkan Anwar dan Keadilan dengan Free Officer serta Gammal Abdel Nasser, merupakan hujah yang sering diulang-ulang buat menimbulkan rasa sangsi dengan motif perjuangan Keadilan. Inilah kegagalan ‘fatal’ buat saya kerana lebih berkiblatkan Mesir sedangkan yang sewajarnya menjadi renungan adalah kekalutan garis sejarah negara Malaysia itu sendiri.

Lama saya sangsi dengan Anwar Ibrahim yang ketika itu meringkuk di Istana Hinggap Sungai Buloh. Jikalau tidak kerana terpelanting ke Uitm pula untuk menyambung pengajian undang-undang, pastinya saya tidak menyentuh buku tulisan Anwar iaitu “Gelombang Kebangkitan Asia.” Makanya bermulalah pengembaraan saya, dari seorang yang sangat curiga terhadap Anwar Ibrahim kepada seorang yang berteleku menelaah kandungan karya tersebut. Kini perasaan curiga berganti cemburu.

Saya cemburu mengapa ada seorang Melayu Muslim yang mengungkapkan “ini” ? “Ini” yang belum mampu saya “bahasakannya.” Saya bertanyakan kepada diri sendiri, “Melayukah Anwar ini?” Masih berpaksikan jalur dakwahkah anjurannya? Masih seorang nasionalis tulen kah Anwar ini? Atau sudah terlalu Kebaratan kah Anwar ini? Atau bermuka-muka kah Anwar ini? Siapa Anwar bin Ibrahim?

Jika seorang Melayu Muslim mengapa memetik Hamlet? Jika masih bersama jalur dakwah mengapa memetik John Locke? Pun begitu Gelombang Kebangkitan Asia begitu banyak pula merujuk kepada Muhammad Natsir, Ismail Raji al Faruqi, Sutan Takdir Alisjahbana dan Syed Hussein Alatas.

Sudahlah saya masih lelah menjejaki nama-nama itu, tambah tidak membantu, perpustakaan universiti tidak pula memiliki kebanyakan dari karya-karya tersebut. Anwar bin Ibrahim sekali lagi menimbulkan kekeliruan dalam diri dan haru biru saya dibuatnya.

Mujurlah ada sekumpulan anak muda yang sering berwacana di Telawi. Beruntunglah pula saya kerana mendekati mereka pula. Berdebar-debar mulanya. Apakah jalur pemikiran anak muda ini. Berbahasa Inggeris kah mereka? Anak-anak orang berada kah mereka? Sangkaan saya meleset sama sekali. Meleset kerana bukan latar yang menjadi persoalan.

Di Komunite Telawi, bukan persoalan samada anak orang berada atau sederhana, yang menjadi persoalan, bersediakah kamu berdepan dengan tesis yang sudah lama membaluti masyarakat sekaligus membentuk ‘bahasa’ wacana.

Di Komunite Telawi saya diajar mencabar. Saya ditunjuki untuk tidak menyerah hanya kerana datang dari latar yang sederhana. Saya dicabar untuk mendobrak stigma kononnya seorang anak muda berbangsa Melayu yang datang dari Kedah tidak boleh membaca Hamlet dan tafsirannya oleh Harold Bloom?

Saya dicabar untuk menanyakan apa kerana terdidik di ‘kampung’ saya akan gagal menanggapi “The Poem Unlimited” itu? Komunite Telawi mengajar saya itulah semangat “Gelombang.”

Lama kelamaan “ini” yang terkait dengan Anwar Ibrahim itu mula merungkai satu demi satu. Terserlahlah Anwar itu bukan bermuka-muka bahkan dia satu sosok yang berlapis-lapis. Dari itu saya memahami serta bertekad bahawa tidak akan sama sekali apologetik untuk menjadi seorang Melayu, Muslim atau rakyat Malaysia.

Berbangga dengan ras Melayu, tidak akan menjadikan saya seorang “bigot,” juga dengan agama Islam, sama sekali tidak akan menjadikan saya seorang pengganas. Dari itu juga saya memahami berdegang degang mengakui diri sebagai “Malaysian First” belum tentu menjadi bukti seseorang itu toleran, terbuka apatah lagi Kosmopolitan.

Ironi sekali buat saya ketika itu. Sangkaan saya Telawi yang secara fizikal, dengan pelbagai rencam serta majmuk budaya, melayakkannya sebagai satu tempat Liberal atau Kosmopolitan. Rupa-rupanya tidak. Telawi bukan sahaja memandang sepi mereka yang menjinjing Capita Selecta nya Muhammad Natsir, malahan kosong dari mengungkapkan “The Western Canons.”

Telawi yang majmuk budaya rupa-rupanya seperti Malaysia, memerlukan permaknaan atau dimaknai semula dengan nafas segar. Telawi dan Malaysia bukan sekadar mereka yang berbahasa Inggeris, “haute couture” dan “haute cuisine semata.” Makanya kami anak muda ketika itu selain membahaskan ruang awam cetusan Habermas, menelaah esei-esei penting FA Hayek, juga membaca dengan kuat-kuat (maksud literal) Polemik Kebudayaan susunan Achdiat Mihardja dan syarahan pengukuhan Syed Muhammad Naguib yang berjudul “Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.”

Kami mahu di sekeliling sedar adalah tidak salah menjadi Melayu, dan menjadi Melayu Muslim sekaligus tidak menghalang kami mendakap makna dari wacana Kosmopolitanisme nukilan Kwame Anthony Appiah itu.

Kini selepas beberapa ketika, yang di mulai dari pergulatan peribadi, mencari makna “ini” sosok Anwar Ibrahim, tidak apologetik dengan identiti sendiri dan keyakinan memperjuangkan sebuah masyarakat demokratik, ia menyedarkan saya betapa “lapisan” boleh sahaja dicurigai sebagai “bermuka-muka.” Gopoh menlabelkan seseorang dengan gelar tertentu mungkin menyenangkan atau sebenarnya memperlihatkan kedangkalan yang bukan kepalang.

Selepas lebih dari satu dekad, saya kini bersama perjuangan Parti Keadilan Rakyat. Walau umurnya yang masih dikira muda, Keadilan mara terus menawarkan sisi politik yang lama diabaikan, iaitu wadah politik nasional berbilang bangsa dan agama. Sisi politik ini lah membuatkan Keadilan lawan ampuh kepada pemerintah namun juga menghadirkan cabaran getir buat perjuangannya sendiri.

Saya yakin akan punahlah Keadilan jika ia mula mendakap agenda perkauman sempit, dan apabila kita memperkatakan mengenai perkauman sempit, ianya bukan sahaja tertakluk hanya kerana kita anti kaum Tiong Hua, India, Kadazan, Dusun, Iban, namun perkauman sempit juga apabila kita sekonyong-konyong anti Melayu dan Islam.

Acapkali pimpinan Keadilan, terutamanya Anwar Ibrahim menegaskan keyakinan untuk melaksanakan Perubahan sekaligus merealisasikan impian mewujudkan sebuah Negara Madani, sebuah negara toleran dan demokratik. Penegasan ini pula bukan sekadar di ceramah, malahan termaktub dalam pelbagai dokumen rasmi, samada membabitkan Permuafakatan Pakatan Rakyat mahupun Keadilan itu sendiri.

Adalah salah perkiraan sekiranya politik toleran dan terbuka mengambil sikap melulu anti Melayu Muslim dan membakulkannya dengan jalur politik serta budaya condong mirip Perkasa atau Umno. Adalah tidak salah untuk berada dalam Keadilan dan meyakini bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan serta agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan. Apa sekiranya saya berpegang kepada dua peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, makanya saya boleh dianggap “bigot,” rasis atau warisan Umno?

Yang salahnya, apabila anda terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa dan politik jijik bermuka muka lalu berselindung di sebalik label Melayu, Islam mahupun “Malaysian First.” Yang salahnya, apabila anda merasakan bangsa anda “superior” dan perlu untuk menindas bangsa mahupun kepercayaan lainnya. Hakikatnya, yang salahnya, apabila anda hipokrit.

Dan pada ketika itu, bila hipokrisi sudah menular dan mengakar , maka bolehlah kita beramai-ramai membaca talkin buat Keadilan.

Tiada ulasan: