Selasa, 7 September 2010

Santa 'Pak Haji', TV3 diminta tak ulangi kesilapan

MALAYSIA KINI


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menghantar surat peringatan kepada rangkaian televisyen Media Prima Bhd agar tidak mengulangi kesilapan menyiarkan iklan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Surat dari ketuanya, Nasrudin Hassan dihantar kepada ketua pegawai eksekutif rangkaian itu, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan melalui faksmili semalam.

"DPP Pusat mengingatkan TV3 agar tidak mengulangi perkara ini lagi di masa akan datang serta menjaga sensitiviti umat Islam.

"TV3 seharusnya mempunyai lembaga penapisan atau pemantauan syariah yang ketat agar sesuatu iklan atau filem yang ditayangkan di TV3 tidak bercanggah dengan syariah atau aqidah umat Islam serta boleh diterima oleh semua pihak," katanya dalam satu kenyataan.

PAS juga kata Nasrudin mahu TV3 berhati-hati dalam setiap bahan yang mahu disiarkan dan menggesa stesen tersebut mewujudkan lembaga penapisan atau pemantauan syariah.

Katanya, iklan tersebut tidak sepatutnya disiarkan langsung kerana mengundang persepsi buruk daripada masyarakat khususnya umat Islam lebih-lebih lagi ketika pada bulan Ramadan.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.”

Selain itu, Pemuda PAS turut meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Penerangan agar meningkatkan pemantauan ke atas penyiaran seperti iklan, drama atau filem agar kandungannya tidak melanggar batas syarak.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.

Ia dilihat seperti menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan pelita.

Kos penerbitan iklan itu dikatakan mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Tiada ulasan: